Skip to main content

Bila bercakap soal kahwin, pastinya macam-macam benda akan bermain di fikiran. Yelah, orang kata kahwin ni kalau boleh nak sekali saja seumur hidup, jadi mestilah nak pastikan ia adalah yang terbaik, kan?

Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda.

Tetapi untuk menjadikan ia yang terbaik, kedua-dua belah pihak, sama ada pihak lelaki atau pun pihak perempuan perlulah bertolak-ansur dalam segala hal. Pastikan kedua-dua pihak bersama-sama merancang hari bahagia mereka itu nanti dan sama-sama cari duit.

Tidak perlu berbelanja besar dan melampau untuk majlis perkahwinan anda itu nanti. Cukuplah sederhana tetapi meriah dan diingati.

Namun, antara masalah utama untuk pasangan melanjutkan hubungan ke fasa perkahwinan adalah apabila pihak lelaki terpaksa mengambil masa yang lama untuk mengumpul wang hantaran. Kenapa boleh jadi lama? Teruskan membaca.

Masalah mengenai hantaran perkahwinan ini adalah masalah yang klise dan sudah sebati dengan masyarakat kita kini. Ianya berbolak-balik sejak zaman pasca moden lagi. Sebetulnya, memang pelbagai sudut yang perlu untuk kita ambil kira mengenai topik ini seperti sudut syarak, budaya, sejarah, kefahaman dan bahasa.

Apakah itu hantaran?

Hantaran itu adalah wang yang diminta oleh pihak perempuan untuk belanja membuat kenduri perkahwinan di pihak perempuan. Lazimnya, duit hantaran ini digunakan oleh pihak perempuan untuk membuat kenduri kahwin di belah dia.

Adakah mas kahwin sama dengan hantaran?

 Tidak. Mas Kahwin adalah mahar. Mahar/Mas kahwin disebut semasa akad nikah. Ada mas kahwin yang telah ditetapkan oleh negeri namun tidak menjadi kesalahan kepada sesiapa yang mahu meletekkan jumlah mas kahwin yang mereka mahu.

“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan (isteri) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian (yang wajib). Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian tersebut sebagai nikmat yang baik lagi lazat “Surah An-Nisa Ayat 4”

Wang hantaran melambung-lambung logik atau tidak? Sebenarnya yang penting adalah PENGURUSAN dan TOLAK ANSUR. Sebagai wanita, kita kena ada sistem pengurusan kewangan terbaik. Dan juga kita kena faham bahawa tak mudah suami kita tu nak kumpul duit. Kita kena faham bakal suami. Kita nak kahwin dengan dia, dia nak jaga kita hingga hujung nyawa. Kenapa kita nak susahkan dia dengan hantaran melambung-lambung? Kesian.

Jangan terlampau mengikut trend. Ukur baju di badan sendiri. Selepas kahwin, ada macam-macam yang perlu kita tempuh. Tohmahan orang yang cakap-cakap di belakang ini tidak akan membantu. Mulut manusia memang tidak boleh ditutup. Biarkan. Orang begitu tidak akan pernah berjaya bahkan terus jatuh dan jatuh tersungkur kegagalan.

Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.

Dalam urusan wang hantaran, janganlah serahkan semuanya pada lelaki. Dan lelaki, jangan juga terlalu ambil remeh dan berikan semuanya pada wanita. Kedua-dua pihak perlu bersama-sama berusaha mencari jalan.

Ada juga yang keluarga dari pihak perempuan yang menetapkan harga hantaran yang tinggi. Namun, ia menjadi kesedaran dan tanggungjawab perempuan tersebut untuk berbincang dengan keluarganya. Selepas berkahwin, yang akan menempuhi alam rumahtangga itu adalah anda dan sang suami, bukan orang lain.

Bagi yang wanita pula, janganlah anda menggunakan alasan atau kata-kata seperti “Kata sayang, jadi berusahalah, penat mak ayah saya jaga dari kecil”. Ingatlah bahawa suami andalah yang akan menjaga anda sehingga ke hujung nyawa. Bagi yang muslim, selepas anda berkahwin, dosa-dosa anda akan berada di atas bahu sang suami. Itu adalah bukti sayang yang sebenar. Lelaki juga mempunyai keluarga yang telah menjaga dia sedari kecil lagi, kenapa perlu dibeza-bezakan? Sewajarnya untuk kita timbang rasa dan faham.

Mentaliti Keluarga

Setiap keluarga ada tafsiran tersendiri (ada yang lebih kontroversi daripada yang lain) tentang konsep duit hantaran ni. Ada keluarga yang percaya seorang perempuan turut ‘berkahwin’ juga dengan keluarga si suami sebaik saja dia bergelar isteri, simbolik kepada meninggalkan keluarga asal.

Ada sesetengah kes, duit hantaran dianggap sebagai ‘pampasan’ kepada kos-kos yang dilaburkan oleh ibu bapa pengantin perempuan yang dah besarkan anak mereka sebelum anak perempuan mereka tu‘dilepaskan’. Tapi tak semua keluarga jenis yang berkira…

Selain tu, ada jugak yang melihat wang hantaran sebagai simbol kestabilan kewangan pengantin lelaki untuk jaga bakal isteri dan keluarga nanti.

Bagi keluarga yang lebih moden, ia dianggap sebagai duit simpanan kepada pasangan yang akan berkahwin. Apa-apa pun, memulakan kehidupan lepas kahwin memang TAK MURAH – sekurang-kurangnya korang kena fikir tentang kediaman pertama, dan dah mula buat bajet untuk anak-anak nanti.