Skip to main content

Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan tahun lalu telah mengumumkan pelaksaan gaji minimum RM1200 sebulan di wilayah bandar-bandar utama. Kadar gaji telah dinaikkan RM100 berbanding RM1100 pada tahun 2019. Meskipun negara sedang bertempur dengan isu pandemik Covid-19, kerajaan masih komited menaikkan kadar gaji minimum pekerja di Malaysia.

Namun begitu, pelaksaan tersebut dikritik hebat oleh rakyat kerana gagal memenuhi keperluan terdesak masyarakat terutamanya golongan B40. Mengapa?

Tidak sejajar dengan garis kemiskinan negara

Kerajaan telah menyemak semula had pendapatan garis kemiskinan (PGK) nasional daripada RM980 kepada RM2208 dan mendapati kadar kemiskinan realistik di Malaysia adalah 5.6% berbanding 0.4% yang dianggap lapuk. Bagaimanapun, kadar RM2208 itu masih kurang daripada gaji bulanan RM2700 yang disarankan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk diambil kira dan diperbetulkan oleh kerajaan sebagai had minimun gaji wajar.

Berdasarkan penetapan PGK baru pada RM2208, kerajaan perlu mengakui gaji minimum RM1100 hingga RM1200 khususnya di kawasan bandar adalah tidak realisitik dan sejajar dengan kos sara hidup. Hal ini kerana masih ramai pekerja dibayar gaji di bawah garis kemiskinan yang diisytiharkan. Sekiranya garis kemiskinan ditetapkan pada paras RM2208 maka gaji minimum juga perlu diselaraskan mengikut garis kemiskinan bagi menangani masalah kemiskinan.

Sekiranya kadar gaji adalah dibawah paras kemiskinan, maka lebih ramai rakyat Malaysia termasuk kategori B40 yang perlu meneruskan hidup dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Jurang pendapatan dan kekayaan semakin melebar

Jurang pendapatan dan kekayaan di Malaysia semakin melebar, justeru masalah ini harus dipandang serius. Tambah-tambah lagi masalah kemiskinan dijangka bertambak buruk di masa akan datang disebabkan krisis wabak Covid-19 di mana ramai diberhentikan atau terpaksa menerima potongan gaji.

Mereka yang paling terkesan adalah golonga B40 dan M40 yang dibayar gaji yang sudah tepu dan tidak mampu menampung kos sara hidup tinggi sekali gus memaksa mereka menanggung hutang isi rumah tinggi yang menjadi punca masalah kemiskinan semakin bertambah di Malaysia. Umum tahu, kos sara hidup di Malaysia adalah tinggi maka kadar minimum RM1200 adalah tidak relevan.

Hanya melibatkan wilayah bandar utama

Selain itu, kadar gaji baru yang telah diputuskan oleh kerajaan hanya melibatkan kawasan bandar utama di mana ia melibatkan 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran manakala gaji minimun selain wilayah bandar utama masih kekal RM1100. Bagaimana pula dengan mereka yang bekerja di luar bandar tetapi tinggal di kawasan bandar utama? Tindakan kerajaan dianggap berat sebelah kerana luar bandar juga tidak terlepas daripada tekanan kos sara hidup yang tinggi. Gaji minimun sepatutnya diseragamkan di seluruh tempat di Malaysia supaya adil.

Adakah RM1200 benar-benar cukup untuk menjalani hidup yang baik?

Keperluan gaji minimum baharuĀ  perlu dibuat berdasarkan kepada beberapa aspek, antaranya keperluan rumah, nilai harga rumah mampu milik dan kadar potongan bulanan selain dapat mengurangkan masalah tekanan kos sara hidup.

Kelebihan kepada warga asing

Selanjutnya, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, kenaikan gaji minimum ini memberi kelebihan utama kepada warga asing kerana ramai rakyat Malaysia sudahpun dibayar melebihi jumlah itu. Pekerja asing pula akan mengirim sebahagian besar pendapatan mereka kepada keluarga di negara asal, ia tidak membantu menyumbang kepada ekonomi tempatan. Akhirnya, rakyat Malaysia sendiri yang harus membayar lebih untuk perkhidmatan dan barangan.

Walaubagaimanapun, tindakan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum juga perlu kerana ia sememangnya perlu dilakukan. Akan tetapi, peningkatan itu tidaklah begitu ketara dan begitu membantu mengubah kehidupan rakyat sekali gus menangani masalah kemiskinan di negara ini terutamanya dalam kalangan B40 dan M40.

Kesimpulannya, perubahan ini diharapkan mampu membantu rakyat hidup dengan lebih baik meskipun negara sedang dilanda wabak covid-19 yang telah mengubah kehidupan secara total. Kenaikan gaji diharap mampu bertambah dari tahun ke tahun bagi membantu kehidupan rakyat untuk lebih stabil dan bebas hutang.