Skip to main content

Semenjak wabak COVID-19 menular di negara ini, Malaysia terpaksa membuat banyak perubahan demi memastikan rakyat sentiasa terhindar daripada jangkitan. Hal ini termasuklah perintah kuarintin atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan ke atas seluruh negara yang mengubah kehidupan rakyat secara total.

Arahan tidak jelas dan bertindih

Sektor pendidikan juga tidak terlepas daripada terkena tempias. Mahasiswa universiti pastinya masih ingat isu kekecohan perintah berkurung dan perintah pulang yang bertindih dan tidak jelas sehingga membuat ramai mahasiswa buntu. Ramai mahasiswa terpaksa menumpang tidur di rumah saudara dan segelintir terperangkap di tengah-tengah jalan akibat arahan yang tidak jelas dan bertindih daripada pihak atasan.

Sewaktu kekecohan itu berlaku, kita dapat lihat kesatuan rakyat Malaysia yang mengharukan kerana sanggup menolong mahasiswa yang hilang arah. Ramai tampil menghulurkan bantuan dari segi menyediakan tempat tinggal sementara, memberikan wang untuk membeli tiket pulang, menyediakan makanan untuk mahasiswa yang dikuarintin di hostel mereka bahkan ada segelintir tokoh masyarakat yang sanggup menyewa bas untuk membawa mahasiswa pulang ke pangkuan keluarga.

Masalah pembelajaran atas talian

Selesai isu kekecohan tersebut, pelajar dihimpit pula dengan masalah pembelajaran atas talian yang menjadi medium utama dalam meneruskan pengajian. Medium sebegitu menjadi jalan terakhir disebabkan wabak yang COVID-19 yang memustahilkan pembelajaran lansung seperti kebiasaan. Pelajar baru sahaja menarik nafas lega kerana dapat bersama keluarga ketika wabak menggerunkan ini sedang berlaku namun begitu, pembelajaran atas talian pula menjadi masalah utama.

Masalah liputan dan sambungan internet

Umum tahu, tidak semua pelajar datang daripada keluarga yang senang. Sebahagian daripada mereka terdiri daripada susah dan tinggal di kawasan pendalaman yang menyukarkan pembelajaran atas talian. Medium ini memerlukan pelajar untuk mempunyai sambungan internet dan sebaiknya, internet dengan kelajuan tinggi. Pelajar perlu menghadiri kelas dan menghantar tugasan melalui atas talian. Perkara ini bukanlah masalah yang besar bagi pelajar yang datang daripada keluarga yang senang atau tinggal di kawasan yang mendapat liputan internet yang baik. Tetapi, bagaimana pula dengan pelajar yang tidak mampu menampung internet kelajuan tinggi atau kawasan rumah mereka tidak mendapat liputan internet? Hal ini semestinya memberi tekanan kepada mereka.

Kelas atas talian mencabar

Selain daripada itu, masalah internet ini juga membawa kepada masalah yang lain. Ramai pelajar meluahkan perasaan bahawa mereka turut menghadapi cabaran seperti sambungan internet yang lemah, sesi pembelajaran yang kurang jelas dan tidak konsisten dan interaksi kurang menarik. Pelajar menjadi semakin keliru kerana proses adaptasi sesi pembelajaran dan pengajaran ini tidak mudah tetapi tidak mustahil. Hal ini kerana tekanan belajar secara langsung adalah berbeza dengan tekanan belajar secara atas talian.

Tambah-tambah lagi, di saat perlu menghantar tugasan mengikut waktu yang telah ditetapkan, sambungan internet pula tidak memberi kerjasama. Hal ini menyebabkan pelajar tidak mampu menghantar tugasan mengikut waktu yang telah ditetapkan lantas menyebabkan markah mereka ditolak. Lagi teruk apabila tugasan mereka terus ditolak oleh pensyarah dan dikira gagal. Hal ini sudah tentu membuat pelajar sedih, kecewa dan tertekan. Siapa saja yang mahu digagalkan sebegitu?

Masalah persekitaran tidak kondusif

Selain daripada masalah internet, pelajar turut menghadapi masalah persekitaran yang tidak kondusif. Meskipun, pelajar lebih bebas dan amat bergantung kepada disiplin pelajar untuk patuh kepada jadual pembelajaran namun masih ada segelintir pelajar tinggal di rumah sempit dan bising yang mengekang mereka daripada fokus di dalam kelas.

Masalah komitmen dan masa peribadi

Pelajar juga berhadapan masalah untuk menguruskan komitmen dan masa peribadi. Berada di rumah, semestinya pelajar turut perlu menggalas komitmen sebagai seorang anak.  Hal ini menimbulkan konflik antara ibu bapa dan pelajar apabila mereka dilihat hanya ‘terperuk’ di dalam bilik dan tidak cuba membantu ibu bapa membuat kerja-kerja di rumah.  Lebih teruk, sesetengah pelajar terpaksa tidak hadir ke kelas atas talian disebabkan perlu membantu meringankan bebab kerja ibu bapa. Hal ini terjadi disebabkan salah faham yang wujud, segelintir ibu bapa enggan berkompromi mengenai masa dan komitmen anak terhadap pelajaran.

Dilema keluarga yang bermasalah

Seterusnya, timbul juga luahan daripada pelajar yang mempunyai keluarga yang bermasalah sehingga konflik dalaman keluarga ‘tertayang’ tanpa sengaja di atas talian. Contohnya, ada ibu bapa yang bergaduh dengan suara yang kuat sehingga terdengar di dalam kelas atas talian. Kadangkala, pelajar tersebut perlu membisukan mikrofonnya ketika kelas sedang berlangsung kerana enggan menanggung malu.

Sudah jelas, pelajar tersepit dalam dilemma tanggungjawab sebagai anak dan pelajar. Kadangkala, punca tekanan akademik ini timbul daripada suasana rumah dan penerimaaan ibu bapa dan keluarga terhadap proses adaptasi pembelajaran dalam talian.

Menyedar hakikat di atas, kita cakna terhadap luahan pelajar yang kini masih menyesuaikan diri dengan pembelajaran atas talian. Luahan-luahan berikut bukanlah keluhan manja namun masalah yang perlu dipandang serius. Tekanan emosi bukanlah sesuatu yang perlu dipandang remeh, ia mampu membawa kepada masalah-masalah yang lebih serius sekiranya tidak diambil peduli. Semoga setiap pelajar terus kuat meneruskan pembelajaran. Anda bakal pemimpin negara di masa depan!