“Bila nak kahwin?” soalan-soalan begini sering dilontarkan oleh ‘mak cik bawang’ yang suka bertanya kepada anak-anak muda yang sudah sedikit ‘berumur’ namun masih belum mempunyai pasangan. Lantas, kita hanya mampu tersengih kerana tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan tersebut.
Pakar sosiologi menjangkakan dilema bujang senja di Malaysia akan meningkat hampir sekali ganda. Berdasarkan Laporan Bancian Penduduk tahun 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat lebih 5.56 juta lelaki dan wanita berusia 30 tahun ke atas masih belum berkahwin di seluruh negara.
Semestinya semua orang ingin mempunyai pasangan dan membina keluarga bersama. Sedangkan, Tuhan juga menciptakan manusia berpasang-pasangan. Namun begitu, masih timbul isu kahwin lambat atau andartu (anak dara tua) dalam kalangan masyarakat. Hal ini terjadi disebabkan pelbagai faktor.
Tiada pasangan yang sesuai
Tiada pasangan yang sesuai merupakan antara alasan utama wanita berkahwin lambat. Meskipun keinginan mendirikan rumah tangga itu tebal namun tidak kegagalan menemui calon suami yang terbaik menghalang wanita meneruskan keiginan di hati. Kajian Keluarga dan Penduduk Malaysia Kelima 2014 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menunjukkan 35.7 peratus wanita bujang memberikan alasan itu menjadi punca mereka membujang. Diikuti oleh masalah kewangan dan mengutamakan kemajuan kerjaya.
Kebanyakan wanita ingin mencari lelaki yang bertanggungjawab untuk dijadikan suami. Mencari lelaki yang bertanggungjawab persis ayah sendiri adalah sukar di zaman milenium ini dek kerana ramai anak muda lebih suka berfoya-foya dan hidup mudah tanpa cabaran. Mencari lelaki yang bertanggungjawab bagaikan mencari jarum
Masalah kewangan dan persepsi masyarakat
Manakala kaum lelaki pula memberi alasan masalah kewangan merupakan punca utama mereka tidak mampu berkahwin. Kaum lelaki juga menghadapi masalah mencari pasangan yang sesuai dan diikuti mengutamakan kemajuan kerjaya punca mereka membujang. Apatahlagi, persepsi masyarakat yang meletakkan harapan jangkaan yang tinggi terhadap kaum lelaki terutamanya mengenai kewangan. Hal ini menambahkan tekanan kepada kaum lelaki untuk mengumpul wang dan menyediakan aset sebelum meneruskan niat berumahtangga.
Apatahlagi, pihak perempuan membuat permintaan tinggi untuk hantaran kahwin. Memang sakit kepala fikir! Terpaksalah kaum lelaki berkerja lebih keras untuk mengumpul duit kahwin dan menyebabkan proses perkahwinan semakin lambat.
Wanita berpendidikan tinggi
Kaum wanita merekodkan jumlah tertinggi belum berkahwin terutama mereka yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran. Wanita yang sebegini menghabiskan banyak waktu dalam kehidupannya dengan menuntut ilmu ke tahap tinggi. Hal ini menyebabkan mereka lambat bertemu calon pasangan yang sesuai. Tambah-tambah lagi mereka mendapat pekerjaan dengan gaji tinggi yang membuatkan lelaki semakin sukar mendekati. Berbekalkan pendidikan tinggi, wanita kini sudah tidak kisah sekiranya tidak berkahwin kerana sibuk mengejar kejayaan lebih baik untuk masa depan.
Jika dulu kebanyakan wanita bergantung kepada lelaki sepenuhnya kerana tidak memiliki kerjaya, kini wanita sudah boleh mencari rezeki sendiri dan mampu menyandang jawatan tinggi setaraf lelaki. Maka, untuk mereka bergantung kepada lelaki adalah tipis dan mungkin hampir mustahil.
Trauma masa lalu atau sekeliling
Sesetengah wanita memilih untuk tidak berkahwin kerana trauma masa lalu melibatkan lelaki seperti ahli keluarga atau orang terdekat. Wanita mangsa keganasan rumah tangga misalnya, antara wanita yang sudah serik dan enggan berkahwin kerana takut perkara sama terjadi ke atas diri sendiri. Misalnya, melihat ibu dipukul oleh ayah, mangsa penderaan oleh ayah, atau melihat kegagalan rumah tangga ibu bapa menjadi sebab mereka menolak untuk berpasangan. Trauma bukanlah suatu perkara yang remeh kerana ia melibatkan emosi dan perasaan.
Segelintir wanita pula enggan berkahwin kerana tidak mahu menanggung derita akibat perkahwinan gagal di pertengah jalan. Dengan kes perceraian semakin tinggi di Malaysia, sememangnya ramai yang mula berfikir dua kali sebelum berhasrat untuk memiliki pasangan hidup. Sebilangan berpendapat mereka sedia dicemuh masyarakat dengan gelaran andartu dan bujang terlajak daripada terpaksa menanggung derita akibat perkahwinan gagal di pertengahan jalan.
Pilihan sendiri dan takdir Tuhan
Kesemua ini hanyalah faktor yang sering diperkatakan oleh masyarakat. Kadangkala, ia cumalah stigma masyarakat sedangkan masing-masing boleh menentukan sendiri untuk berkahwin atau membujang. Masing-masing juga boleh memilih untuk berkahwin apabila mereka sedia. Perkahwinan memerlukan komitmen daripada kedua belah pihak. Justeru, seseorang itu perlu benar-benar bersedia untuk berkahwin untuk mampu menggalas tanggungjawab sebaiknya.
Akhir kata, jodoh itu di tangan Tuhan. Usahlah tergesa-gesa dan risau sekiranya belum menemui insan yang betul. Janganlah terdesak sehingga menerima sesiapa sahaja meskipun tidak mempunyai kualiti yang baik. Carilah pasangan yang sejuk mata memandang dan baik agamanya dan sebaik-baik pilihan adalah yang beragama. Selamat mencari pasangan yang baik!
JOM FOLLOW @percemedia untuk lebih banyak content menarik . .
#lawakhambar #viral #mudahterhibur #autongakak #videolawak #viralmalaysia #perce #hiburan #artismalaysia #selebriti #twitter #game #epicgames #freegames #gtav #covid #fungames