Isu pemandu mabuk bukanlah sesuatu yang baru di negara kita. Sudah ramai yang menjadi mangsa kepada kemalangan melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol. Isu ini juga menyebabkan seluruh negara amuk dan hiba serta mengharapkan kerajaan mengambil tindakan tegas dan berat terhadap pemandu mabuk yang tidak bertanggungjawab.
Sudah ramai rakyat yang tidak bersalah menjadi mangsa kepada pemandu mabuk, anak kehilangan seorang ayah, ibu bapa kehilangan anak, keluarga kehilangan ahli disebabkan menjadi korban kemalangan melibatkan pemandu mabuk.
Sampai bila kita perlu menyaksikan tragedi sebegini berlaku di Malaysia?
Kematian yang menyayat hati
Siapa mampu lupa? Kematian menyayat hati penghantar makanan yang dilanggar oleh pemandu mabuk ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di mana motornya diseret dua kilometer dari lokasi kejadian dan anggota barisan hadapan, Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail yang terkorban secara tragis di dalam kemalangan melibatkan pemandu mabuk ketika beliau sedang bertugas. Beliau meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Kematian mereka dan banyak lagi mangsa pemandu mabuk telah membuka mata rakyat Malaysia terhadap isu ini. Rakyat seakan berkongsi keperitan dan kesedihan yang ditanggung keluarga mangsa. Kerajaan turut terpanggil untuk membuat perubahan agar tragedi seperti ini tidak lagi berlaku dengan merancang meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan menaikkan hukuman maksimun sedia ada daripada denda RM20 ribu, penjara 10 tahun dan tempoh penggantungan lesen 10 tahun kepada denda RM100 ribu, penjara 20 tahun dan tempoh penggantung lesen 20 tahun.
Kerajaan berharap hukuman sebegitu mampu ‘menakutkan’ pengguna jalan raya agar tidak memandu semasa mabuk. Namun sejauh manakah keberkesanan undang-undang tersebut terhadap pemandu ‘samseng’ begini?
Hukuman di seluruh dunia
Mengikut kajian, negara-negara Asia lebih tegas dalam melaksanakan hukuman ke atas pemandu mabuk. Contohnya, Thailand mewajibkan pemandu mabuk untuk membayar pampasan kepada setiap keluarga mangsa selain daripada wajib membayar denda. Pemandu mabuk juga perlu menjalani program khidmat masyarakat. Berbeza pula dengan Taiwan, mereka mengenakan hukuman paling serius bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dengan melaksanakan hukuman gantung sampai mati.
Di sebelah barat pula, pemandu mabuk dikenakan hukuman setahun penjara dan kerja-kerja buruh kasar di Finland dan Sweden. Russia pula bertindak menggantung lesen mereka untuk selama-lamanya sekiranya didapati bersalah.
Negara Islam seperti Arab Saudi dan UAE pula sememangnya mengharamkan arak. Pemandu yang didapati mabuk bukan sahaja boleh didenda atau dipenjara malah disebat di hadapan orang ramai.
Hukuman mati untuk pemandu mabuk
Sesetengah pihak berharap hukuman yang lebih berat mampu dikenakan ke atas pemandu mabuk. Misalnya hukum bunuh terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut. Sekiranya, hukuman denda dan penjara tidak mampu membantu membanteras masalah ini, maka selayaknya hukuman yang lebih berat dijalankan agar pengguna jalan raya tidak berani memandu dalam keadaan mabuk.
Meskipun hukuman ini agak tegas dan berat untuk sebuah kesalahan jalanraya, namun ia menyebabkan kematian kerana kecuaian. Melalui hukuman ini, kerajaan dapat mengutamakan kepentingan masyarakat dalam mengurangkan kematian di jalan raya disebabkan kecuaian yang dikira sengaja kerana memandu ketika mabuk. Sewaktu mabuk, akal fikiran tidak mampu bertindak waras dan mungkin membuat kesilapan jadi, seseorang itu tidak patut mengendalikan kenderaan.
Haramkan penjualan minuman keras
Segelintir pula berharap kerajaan terus mengharamkan pusat hiburan atau penjualan minuman keras di dalam negara. Namun begitu, setiap keputusan untuk mengeluarkan sesuatu akta undang-undang memerlukan kajian yang mendalam dan komprehensif memandangkan Malaysia adalah negara yang berbilang kaum. Mengharamkan arak secara total dikhuatiri akan menyinggung budaya atau agama yang menjadikan minuman keras sebagai normal sosial.
Namun ramai juga mempersoalkan Malaysia yang terdiri daripada majoriti penganut agama Islam, jadi apa salahnya mengharamkan penjualan arak secara total. Misalnya, negara kaya hasil minyak, Brunei telah mengharamkan penjualan minuman keras dan larangan minum arak secara terbuka.
Brunei telah mencatatkan sifar peminum arak dalam kalangan rakyatnya sejak 2012 dan tiada produk alkohol dijual diseluruh negara tetapi warga asing bukan Islam diizinkan minum minuman keras yang dibeli dari negara luar. Sebarang pelanggaran hukum Islam yang ditegakkan akan dihukum berat mengikut hukum Hudud untuk beragama Islam.
Tidak perlu simpati
Konklusinya, undang-undang sememangnya diciptakan untuk menghalang manusia daripada membuat kesalahan dan jenayah. Ia sepatutnya bersifat tidak bersimpati terhadap mereka yang telah bersalah mencederakan atau menyebabkan kematian orang lain. Ia juga perlu bersiat adil dengan menghukum seseorang setimpal dengan kesalahan yang dibuat.
Memandu ketika mabuk dan menyebabkan kematian terhadap pengguna jalan raya lain boleh dikategorikan sebagai pembunuh. Keluarga mangsa juga perlukan keadilan yang jitu untuk mangsa yang terkorban akibat kecuaian pemandu mabuk.
JOM FOLLOW @percemedia untuk lebih banyak content menarik . .
#lawakhambar #viral #mudahterhibur #autongakak #videolawak #viralmalaysia #perce #hiburan #artismalaysia #selebriti #twitter #game #epicgames #freegames #gtav #covid #fungames