Skip to main content

Pada alaf baharu ini, sektor perindustrian diberikan tumpuan yang sepenuhmya untuk menjana ekonomi negara. Namun, kebanyakan pihak tidak sedar bahawa industri desa yang juga mampu meningkatkan ekonomi negara semakin dipinggirkan.

Industri Desa

Sebenarnya, industri ini berpotensi tinggi untuk dimajukan dan dijangka akan memberi banyak sumbangan dalam ekonomi negara. Industri desa merupakan wadah bagi menghasilkan kerja tangan yang dibuat oleh penduduk desa yang masih menggunakan teknik tradisional yang diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka.

Memang tidak dapat disangkal bahawa industri desa merupakan salah satu industri yang berperanan penting di Malaysia. Kebanyakan penduduk di luar bandar tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja dari siang malam semata-mata untuk menyara keluarga mereka.

Mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan ada kalanya mereka hanya mengisi perut dengan ubi kayu. Kehidupan mereka di kawasan pedalaman diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika industri desa ini dimajukan, maka peluang pekerjaan akan bertambah dan seterusnya taraf kehidupan penduduk desa dapat ditingkatkan. Selain itu, indusri desa yang kaya dengan budaya Malaysia yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan juga dapat membantu dalam usaha menarik pelancong asing berkunjung ke negara kita.

Industri desa yang juga dikenali sebagai industri kecil ataupun industri tradisional merupakan antara industri yang berperanan ke arah penjana pertumbuhan ekonomi negara dan berpotensi tinggi untuk dimajukan. Dengan perkataan lain, industri desa merupakan wadah bagi menghasilkan pengeluaran atau kerja tangan yang dihasilkan oleh masyarakat kampung yang nmasih menggunakan teknik industri tempatan yang diwarisi daripada nenek moyang kita.

Memang tidak dinafikan bahawa suatu ketika dahulu permintaan dan pengeluaran hasil daripada industri desa semakin berkurangan disebabkan oleh perubahan zaman yang ketara. hal ini demikian kerana fenomena peralihan terhadap kemajuan teknologi yang menyebabkan industri desa kurang menonjol. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang dilakukan dalam memajukan industri desa?

Pada masa ini industri desa semakin berkembang di negara kita. Pelbagai produk industri desa telah dipasarkan untuk keperluan masyarakat. Untuk memajukan lagi industri desa, pelbagai usaha perlu dijalankan dengan kerjasama semua pihak.

Dalam usaha memajukan industri desa, para pengusaha perlulah menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran dari negara-negara jiran, seperti Indonesia dan Thailand yang banyak menghasilkan produk tempatan yang berkualiti. Negara kita haruslah bertukar-tukar pendapat dengan negara yang maju dalam industri desa dan mendapat khidmat nasihat daripada golongan profesional dalam bidang ini untuk meningkatkan produktiviti industri luar bandar di negara kita.

Selain itu,kita harus pandai mengambil yang jernih dan buang yang keruh dengan menjadikan kejayaan negara-negara lain dalam industri desa sebagai rujukan untuk menjayakan industri ini di negara kita sendiri. Industri desa hendaklah ditransformasi kepada pelbagai perusahaan daripada berbentuk tradisional kepada jenis penghasilan produk yang lebih kreatif dan inovatif untuk menarik hati dan mengagumkan para pembeli.

Jika usaha memajukan industri desa dilakukan secara sistematik mengikuti prosedur-prosedur yang disediakan, maka suatu hari nanti industri desa akan mendahului segala industri yang bertaraf antarabangsa.

Usaha yang boleh dilakukan termasuklah kerajaan memberikan bantuan dan galakan kepada mereka yang berminat. Hal ini demikian kerana bantuan dan galakan yang berterusan penting terutama kepada pengusaha yang baru sahaja menjalankan sesuatu industri desa.

Kerajaan haruslah memberikan bantuan modal dan khidmat nasihat secara berterusan supaya industri desa seperti batik, kraftangan dan makanan tradisional. Taraf kehidupan penduduk desa melalui sokongan kerajaan juga dapat dipertingkat. Oleh itu, peranan kerajaan penting agar industri desa terus diusahakan secara berterusan di negara kita.

Seterusnya, langkah yang boleh dilakukan dalam memajukan industri desa adalah dengan menggunakan alat-alat berteknologi moden. Dengan mengaplikasikan teknologi moden dalam pengeluaran produk tradisional, secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti produk.

Secara tidak langsung penduduk desa dapat mengksport produk desa ke luar negara dan tidak hanya dipasarkan di dalam daerah sendiri sahaja. Melalui penggunaan alat-alat teknologi moden juga, industri desa dapat memberi peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada anak-anak kampung itu sendiri lantaran permintaan yang semakin meningkat seiring dengan perubahan masa.

Jelaslah, industri desa yang telah dimajukan mampu menjadi teras pertumbuhan ekonomi yang mantap kepada pengusahanya.

Tidak ketinggalan juga, kerjasama antara semua pihak dalam usaha memasarkan produk industri desa ke seluruh pelosok negara. Rakyat perlu yakin dengan kemampuan dan keupayaan sendiri untuk mencapai kemajuan dan seterusnya membantu negara untuk menjadi sebuah negara maju.

Misalnya pada setiap hari Khamis akan kelihatan semua kakitangan kerajaan sama ada lelaki atau perempuan mengenakan baju batik yang merupakan produk industri desa yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.Dengan memakai baju batik, rakyat telah mempromosikan produk tempatan dan pada masa yang sama mereka telah menyumbang kepada pendapatan negara kerana membeli produk buatan Malaysia.

Impaknya industri desa dapat berkembang maju dan dapat mengekalkan nilai-nilai seni tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun secara zaman- berzaman. Tuntasnya, kerjasama erat telah dipupuk dalam kalangan rakyat dengan adanya usaha berterusan daripada kerajaan memartabatkan produk industri desa.

Secara komprehensifnya, masyarakat yang menjalankan industri desa perlulah merebut peluang sepenuhnya yang disediakan oleh kerajaan. Mereka perlulah meningkatkan ilmu serta kemahiran bagi menghasilkan produk tempatan yang berkualiti antarabangsa agar dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan produk berjenama antarabangsa.

Akhir kata, kami percaya akan kebolehan dan keupayaan industri desa di Malaysia untuk kekal maju dan terus berjaya di masa hadapan dengan semangat yang jitu untuk terus berjaya. Malaysia boleh!