Skip to main content

Internet. Itulah perkataan yang kita dengar dalam 20 tahun ini.

Melalui Internet, timbul pula media sosial yang bertambah dengan pelbagai kandungan seharusnya memberi manfaat kepada manusia. Isu globalisasi pada masa kini menitikberatkan ketagihan Internet dalam kalangan belia. Ada antara mereka yang mengalami kemurungan apabila tidak mempunyai peranti depan mata, ada juga yang terlalu tertekan dan tak boleh menjalani kehidupan sebagai seorang remaja biasa.

Ia jelas membuktikan Internet menjadi keperluan dalam kehidupan harian mereka. Kajian Statistik Internet Dunia (Internet World Stats) mendedahkan hampir 78.8 peratus pengguna internet di negara ini, terutama kanak-kanak mengalami ketagihan serius. Manakala statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2014 juga menunjukkan terdapat 20.1 juta pengguna Internet di Malaysia yang 59 peratus daripadanya di bawah umur 30 tahun.

Lihatlah tanda-tanda ketagihan internet di bawah ini :

  • Tolerence – rasa bekeperluan untuk bermain dan bermain untuk merasai perasaan puas.
  • Obsession – banyak menghabiskan masa berfikir tentang apa yang berlaku ketika sedang dalam talian dan berfikir apa seterusnya yang ingin dilakukan.
  • Rasa kecewa, serabut dan marah ketika tidak dapat melayari internet.
  • Meninggalkan hobi lain semata-mata untuk fokus kepada aktiviti internet.
  • Berterusan menghabiskan masa dengan melayari internet walaupun telah mengalami perasaan dan perkara negatif seperti; masalah di sekolah, masalah hubungan interpersonal mahupun masalah kesihatan.

Antara tanda tanda lain yang mungkin memberi isyarat ketagihan internet adalah:

  • Kebanyakan masa lapang dihabiskan dengan melayari internet.
  • Mengantuk di sekolah.
  • Tidak melakukan kerja sekolah.
  • Prestasi pelajaran menurun.
  • Menipu ibu bapa tentang aktiviti melayari internet.
  • Memilih untuk melayari internet berbanding berjumpa dengan rakan
  • Tidak melibatkan diri di dalam aktiviti sekolah dan ko-kurikulum
  • Masalah mata kering dan masalah penglihatan
  • Purata masa dihabiskan belia di alam siber antara tiga hingga lima jam sehari yang kebanyakannya melayari laman media sosial selain mendapatkan maklumat.

Namun, ramai yang salah anggap dan telah menjadikan internet sebagai suatu keperluan harian. Ketagihan internet terjadi apabila seseorang tidak lagi dapat mengawal dirinya daripada kehendak untuk melayari internet. Pada ketika itu, melayari internet sudah menjadi satu keperluan dan bukan lagi kehendak.

Lebih-lebih lagi dikala pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia, 80% daripada 24 jam sehari telah digunakan oleh 2/3 jumlah rakyat Malaysia untuk melayari internet samada untuk melakukan kerja harian, kelas yang dijalankan secara atas talian atau mencari maklumat semata-mata. Hampir semua proses kerja pada waktu ini dikendalikan secara atas talian.

Ketagihan internet menyebabkan impak psiko-sosial termasuk ketandusan hubungan kekeluargaan, kurangnya pemupukan nilai murni dan ‘role modelling’ bagi mendidik sikap bertanggungjawab serta pencinta kedamaian generasi akan datang.

Menurut Pengerusi Persidangan Persatuan Ketagihan Internet Antarabangsa (Isia) 2016 yang juga pakar psikiatri lanak-kanak dan remaja Dr Norharlina Bahar, tanda ketagihan Internet disifatkan sebagai kegagalan menjalankan rutin harian akibat penggunaan Internet secara berlebihan.

Lazimnya, beliau memaklumkan penggunaan Internet secara berlebihan dapat menganggu emosi seseorang.

Antara lain, individu ketagihan Internet mengalami sindrom seperti mudah terpengaruh dengan capaian maklumat di Internet, meluangkan masa di Internet melebihi keperluan, tahap penggunaan Internet meningkat dari semasa ke semasa, mengutamakan keseronokan di alam maya berbanding bersosial di alam nyata dan sering menangguhkan urusan harian sama ada di tempat kerja mahupun di rumah.

Menyedari hakikat ini, CMCF sentiasa berusaha mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna terutama belia dalam mengakses penggunaan Internet dengan menekankan kawalan kendiri terhadap pengguna Internet.

Jika dulu anak remaja sibuk dengan basikal dan bola. Anak remaja zaman sekarang sibuk dengan gajetnya. Remaja merupakan golongan yang serba tahu di dalam penggunaan gajet dan internet berbanding golongan dewasa. Mungkin kerana minat, tumpuan dan masa mereka banyak dihabiskan dengan gajet dan internet.

Kebanyakan remaja bermula dengan mengunakan internet sebagai sistem perhubungan dan berakhir dengan gejala tingkahlaku yang serius.

Ketagihan internet di kalangan remaja adalah bukan sahaja keinginan untuk sentiasa ’online’ (aktif di dalam talian), malah ia sehingga melibatkan pertaruhan dan perjudian. Beberapa individu yang membuat kajian di dalam bidang ketagihan telah mengenalpasti bahawa ketagihan internet dikalangan remaja adalah satu isu yang amat perlu dititikberatkan.

Ini kerana ketagihan internet yang teruk akan memberi kesan yang tidak baik kepada diri seseorang dan masyarakat.

Seseorang yang mengalami ketagihan Internet didapati gagal memberi tumpuan yang baik terhadap kehidupannya seperti biasa. Bagi mereka yang mempunyai penyakit ini, peranan dan hubungannya dengan individu lain dalam lingkungan hidupnya turut terjejas.

Untuk mengelakkannya berlaku, strategi dan langkah kawalan kendiri berikut boleh diberi perhatian:

  • Tetapkan objektif dan matlamat sebelum melayari laman web dengan mengenal pasti tujuan penggunaan.
  • Tetapkan melayari laman web yang tertentu dan yang perlu saja atau sekadar memenuhi keperluan yang dikehendaki tidak melebihi had dan bagi mengelakkan melayari laman yang tidak perlu.
  • Hadkan atau tetapkan jangka masa yang diperlukan ketika menggunakan komputer dan ketika melayari Internet bagi mengelakkan pembaziran masa.
  • Bahagikan masa yang sewajarnya antara kehidupan di dunia siber dan kehidupan di alam nyata supaya wujud keseimbangan dalam kehidupan seharian.
  • Jadikan Internet sebagai sumber pengetahuan untuk menambah kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan.
  • Sentiasa mengikuti perkembangan CMCF yang sentiasa berusaha untuk mempromosikan kawalan kendiri.

Jika dahulu, penggunaan Internet terhad kepada golongan profesional tetapi kini akses Internet menerusi telefon pintar bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Semakin ramai yang mampu memiliki telefon pintar kerana boleh didapati dengan lebih meluas dan berpatutan harganya.

Internet juga menjadi medium komunikasi yang penting terutama dengan kewujudan pelbagai media sosial dan aplikasi mesej seperti WhatsApp, WeChat serta Telegram.

Hakikatnya, Internet tidak mendatangkan masalah jika digunakan dengan baik. Jadi, gunakanlah internet dengan sebaiknya dan terkawal. Jika anda berasa anda mempunyai masalah ketagihan internet, dapatkan nasihat daripada mereka yang lebih profesional dan berpengalaman untuk mengatasi ketagihan ini.