Skip to main content

Pandemik Covid-19 yang sedang melanda seolah-olah menampar kita ke realiti kehidupan rakyat di negara ini. Sewaktu kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan di malaysia, rata-rata rakyat tidak bersedia dengan simpanan.

Rata-rata rakyat semakin tersepit dan terjejas teruk dek kerana wabak virus korona yang menyerang dunia yang mengubah segalanya secara total. Hal ini sudah jelas menunjukkan bagaimana kehidupan rakyat yang sebenar.

Hal ini kerana, rakyat yang terdiri daripada golongan B40 bergantung sepenuhnya kepada upah harian atau mingguan manakala golongan M40 turut bergelut dengan potongan gaji ataupun diberhentikan kerja.

Laporan PBB mengenai kemiskinan di Malaysia

Philip Alston, pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemiskinan dan hak asasi manusia telah menyampaikan dapatan beliau ke Malaysia. Beliau telah mempersoalkan dakwaan kerajaan bahawa paras kemiskinan di Malaysia adalah 0.4%.

Angka tersebut seolah-olah memberikan gambaran bahawa Malaysia telah berjaya menghapuskan kemiskinan secara total sedangkan di negara lebih maju seperti negara-negara Eropah, Amerika dan Jepun masih terbelenggu dengan masalah kemiskinan.

Menurut Philip, angka sebegitu adalah tidak realistik. Hal ini kerana, kaedah yang digunakan di Malaysia adalah tidak sesuai dan tidak memberi gambaran sebenar tentang keadaan kemiskinan di negara kita di mana garis penentuan kemiskinan sebanyak RM980 adalah langsung tidak munasabah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Umum tahu, kos sara hidup di Malaysia adalah tinggi, maka tidak masuk akal untuk menyatakan keluarga berpendapatan atas dari RM980 adalah tidak termasuk dalam kategori miskin.

Menyemak semula ukuran kemiskinan

Kerajaan kemudiannya menyemak semula ukuran kemiskinan yang bertepatan bagi menyingkap realiti kemiskinan di Malaysia. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, had baharu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) telah disemak semula kepada RM2208 berbanding RM980 yang telah digunapakai sejak 2005.

Pengenalan had baharu itu menjadikan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 5.6% berbanding 0.4% sebelum ini. Jumlah isi rumah miskin tegar juga telah meningkat kepada lebih 27 ribu mengikut PGK baharu berbanding lebih satu ribu mengikut had lama.

Jadi, kita sudah jelas, Malaysia sememangnya masih bergelut dengan masalah kemiskinan tambah-tambah lagi di waktu wabak covid-19 melanda negara.

Usaha daripada kerajaan

Fungsi sesebuah kerajaan adalah melindungi dan membantu rakyat membangunkan negara menjadi sebuah negara yang gah. Namun begitu, sekiranya rakyat dibiarkan melarat tanpa bantuan yang sepatutnya, adakah kerajaan benar-benar telah berfungsi?

Masalah kemiskinan tidak mungkin tamat hanya dengan bantuan wang semata-mata. Kerajaan perlu menangani masalah ini daripada akar umbi. Misalnya, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dengan gaji yang sepatutnya.

Rata-rata rakyat di negara ini dibayar upah rendah meskipun mempunyai kelayakan yang tinggi. Kos sara hidup di Malaysia juga semakin meningkat namun kadar gaji masih di takuk lama, lantas bagaimana rakyat mampu meneruskan hidup?

Menurut pakar, bantuan wang ringgit kepada golongan miskin hanya akan menambahkan beban kewangan generasi akan datang. Langkah lain yang boleh menangani perkara ini adalah dengan menyediakan latihan dan kemahiran untuk memenuhi permintaan pekerjaan terutamanya untuk mereka yang tinggal di luar bandar.

Hal ini kerana, ramai yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan. Masalah timbul apabila mereka tidak mempunyai kelayakan atau kemahiran yang sesuai dengan pekerjaan yang dipohon menyebabkan mereka terus miskin dan menambahkan jumlah kemiskinan di bandar.

Usaha sendiri

Selain daripada peluang dan bantuan daripada kerajaan, bidang perniagaan dapat membantu golongan miskin untuk bebas daripada belenggu kemiskinan.  Tidak perlu perniagaan yang besar dengan untung yang tinggi, cukup sekadar perniagaan secara kecil-kecilan.

Perniagaan sebegini sekiranya dimajukan, mampu membuka peluang pekerjaan kepada orang lain untuk turut mengubah nasib serta membantu ekonomi negara. Perniagaan kecil sebegini juga dinasihatkan untuk mengembangkan perniagaan ke taraf lebih tinggi agar ia tidak hanya untuk menampung kehidupan sehari-hari tetapi lebih daripada itu.

Kebanyakan bumiputera berniaga sekadar mahu menampung hidup sehari-hari sedangkan melalui perniagaan, banyak hal lagi yang mampu dicapai.

Konklusinya, kemiskinan bukanlah sesuatu yang boleh ditangani dengan mudah. Ia memerlukan inisiatif dan tindakan yang komprehensif oleh semua pihak terutamanya kerajaan dalam membasmi kemiskinan secara sifar. Kita tidak mahu dalam mengejar kemajuan, kita mengabaikan rakyat yang menderita akibat kemiskinan.

Hal ini seperti sebuah kemenangan yang sendu, kerana pada akhirnya, jatuh dan bangun sesebuah negara bermula dengan rakyat. Sekiranya rakyat sendiri melarat dan tidak mampu membantu diri sendiri bagaimana pula dengan menbangunkan sebuah negara yang gah.