Pelbagai jenis mitos bertularan dalam kepercayaan masyarakat umum. Eloklah untuk kita memperlengkapi diri masing-masing dengan ilmu asas perubatan agar tidak terpedaya dengan perkara ini. Ikuti artikel ini untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.
Jangan telan gula-gula getah, kalau tak 7 tahun baru keluar
Banyak prosedur kajian kapsul endoskopi dan kolonoskopi yang telah dijalankan oleh pakar-pakar, namun tiada satu pun yang pernah menjumpai gula-gula getah. Jika 7 tahun adalah merupakan tempoh masa yang perlu diambil oleh sistem penghadaman untuk menyingkirkan gula-gula getah, justeru, ramailah individu yang akan mempunyai makanan tersebut apabila dibuat kajian imbasan. Walaupun sehingga kini tiada bukti saintifik yang menyatakan dakwaan ini benar, namun ia merupakan salah satu pendapat yang sudah sekian lama berlegar-legar dalam kalangan masyarakat. Mungkin untuk menakutkan kanak-kanak supaya tak tertelan kot?
Suatu ketika dahulu, terdapat label pada bungkusan gula-gula getah yang tertulis perkataan “indigestible”. Mungkin ini yang menjadi sumber salah faham dalam kalangan masyarakat seterusnya memperkuatkan mitos ini. Walaupun gula-gula getah tidak boleh dihadam, ia tetap akan melalui saluran penghadaman bersama dengan makanan lain dan dibuang melalui najis. Proses ini, kebiasaannya, mengambil masa 3 hari dan bukannya 7 tahun. Usah takutkan anak-anak dengan pengetahuan yang salah. Hentikan mitos ini!
Jangan mandi hujan, nanti dapat penyakit
Jika anda sedar, inilah di antara sebab-sebab yang popular menjadi senjata mulut para ibu bapa bagi melarang anak-anak mereka daripada bermain hujan. Ada golongan yang percaya bahawa anak-anak yang suka mandi hujan mudah terkena penyakit kulit. Jika anda salah seorang daripadanya, itu hanyalah mitos. Walaupun seseorang individu itu mudah untuk terkena demam dan selsema jika bermain hujan, ia disebabkan oleh imuniti badan menjadi lemah sewaktu cuaca sejuk, hujan bukan penyebab kepada penyakit tersebut.
Tiada masalah untuk seseorang itu mandi hujan, asalkan mereka berada dalam keadaan yang sihat. Ia merupakan salah satu kenangan manis yang akan diingati tatkala mereka berada di alam dewasa kelak. Penyakit seperti selsema tidak disebarkan melalui hujan, ia disebarkan oleh virus. Usah halang keinginan anak anda untuk menerokai keunikan alam. Biarkan mereka. Namun, selepas mandi hujan, pastikan mereka dibersihkan dan dikeringkan dengan elok.
Makanan dan minuman manis boleh menyebabkan kanak-kanak hiperaktif
Idea ini timbul berdasarkan pemerhatian ibu bapa dan ia tidak disahkan oleh mana-mana teori sains. Mungkin sebab kebanyakan makanan yang disediakan di majlis hari jadi seseorang adalah makanan manis dan anak-anak kelihatan terlebih aktif. Itu bukan disebabkan oleh gula tetapi ia disebabkan oleh keterujaan anak-anak anda. Gula tidak boleh dipersalahkan dalam semua situasi. Mana-mana gula yang diambil oleh kanak-kanak akan digunakan oleh sel-sel badan sebagai sumber tenaga. Jadi bagaimana pula jika gula terlebih? Ia akan disimpan sebagai lemak badan, bukannya sebagai modal untuk menjadikan mereka hiperaktif.
Menurut Dr Mark Wolraich, Ketua Jabatan Perlakuan dan Perkembangan Kanak-Kanak di Pusat Sains Kesihatan Universiti Oklahoma, gula tidak mempengaruhi corak tingkah laku kanak-kanak. Kebanyakan kajian yang cuba membuktikan gula sebagai punca kepada hiperaktif gagal menjumpai sebarang kaitan di antara kedua-duanya. Jika anda ingin mengawal pengambilan gula anak-anak anda, pastikan anda lakukannya dengan tujuan yang betul. Jika tidak, anda akan kecewa dengan hasilnya.
Anda perlu tunggu sekurang-kurangnya satu jam selepas makan sebelum pergi berenang
Mungkin jika baru balik daripada kenduri atau makan dekat restoran buffet yang berdekatan, kita perlu makanan tersebut lawas dahulu sebelum berenang. Tetapi sekiranyapun kita terus berenang di kolam renang satu minit slepas makan, kita hanya akan merasa tidak selesa di bahagian perut kita. Tiada apa yang terlalu membahayakan yang akan berlaku.
Tetapi kalau mengikut logik, biasanya makanan yang kita bawa di tepian kolam renang atau ketika berkelah di tepian pantai adalah makanan ringan yang tidak akan memeberikan apa-apa kesan jikalau kita makan dan terus pergi berenang.
Kuku jari dan rambut akan terus memanjang selepas kita mati.
Mungkin sebab mitos inilah segala hantu atau pontianak digambarkan mempunyai rambut panajang yang berjurai dan kuku yang tajam. Mungkin orang terkeliru kerana jika kita betul-betul periksa, kuku dan rambut sesebuah mayat itu sebenarnya memang akan kelihatan terus memanjang.
Tetapi sebenarnya apa yang berlaku adalah tisu-tisu lembut dan kulit di dasar kuku tangan dan rambut kita mengecut selepas menghembuskan nafas terakhir, secara langsung memberikan ilusi yang ianya ‘terus memanjang’.
Rambut atau janggut yang dicukur akan tumbuh semula lebih lebat dan cepat
Ini mitos yang kita boleh periksa sendiri. Sebenarnya janggut kita napak lebih lebat selem]pas mencukur adalah kerana bahagian janggut yang dikerat itu atau bekas cukuran itu menampakkan bahagian janggut yang baru dan warnanya belum dilunturkan olah cahaya matahari atau alam sekeliling. Jadi ia sebenarnya bukan semakin lebat. Ilusi sahaja.
Jika ada luka dan makan telur, luka akan bernanah
Luka bernanah itu adalah kerana jangkitan kuman, tidak ada kena mengena dengan telur. Telur adalah sumber protein untuk penyembuhan luka. Sekiranya anda tidak ada alahan, tidak ada masalah untuk makan telur.
Jika mandi malam, paru-paru akan berair
Jantung tidak akan menjadi lemah tidak kira waktu. Jantung kita pam 24 jam, setiap saat dengan kadar yang sama. Bagaimana pula air boleh meresap terus masuk ke paru-paru? Jantung kita TIDAK boleh dimasuki air jika mandi. Kalau ada air dalam selaput jantung iaitu entiti “pericardial effusion” ianya disebabkan penyakit seperti barah, tuberculosis, autoimun dan beberapa lagi.
Sebenarnya banyak lagi mitos-mitos perubatan yang lebih kompleks dan merumitkan. Pengajaran yang kita boleh ambil daripada pengetahuan ini adalah, sentiasa mencari kebenaran. Jangan terus memepercayai segala apa yang kita dengar secara bulat-bulat. Terkadang ia bukannya salah si penyampai tetapi kita yang mudah terkeliru dan malas untuk fahami sendiri sesuatu informasi baru. Jangan sebarkan tanpa sebarang kepastian atau info yang tepat!
JOM FOLLOW @percemedia untuk lebih banyak content menarik . .
#lawakhambar #viral #mudahterhibur #autongakak #videolawak #viralmalaysia #perce #hiburan #artismalaysia #selebriti #twitter #game #epicgames #freegames #gtav #covid #fungames