Skip to main content

Pandemik COVID-19 yang mula melanda dunia pada tahun 2019 kini bakal berakhir dengan penemuan vaksin yang dipercayai mampu menyembuhkan. Banyak negara telah mencuba untuk melihat sejauh mana keberkesanan ia terhadap manusia. Namun begitu, sejauh manakah kebenaran bahawa vaksin ini benar-benar berkesan?

Novel Coronavirus 2019 (COVID-19) merupakan virus yang berjangkit yang menyebabkan penyakit pernafasan akut. Virus ini juga berkait rapat dengan virus SARS yang menyerang saluran pernafasan seterusnya boleh menyebabkan kematian. Ia boleh disebarkan melalui titisan pernafasan dan individu yang dijangkiti apabila mereka bersin atau batuk. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut mengisytiharkan penularan koronavirus sebagai situasi kecemasan global.

Sebanyak 83,910,386 kes positif telah dilaporkan di seluruh dunia manakala 1,839,660 kes kematian dilaporkan akibat COVID-19. Hal ini menambahkan kegusaran kepada setiap negara kerana keadaan masih belum reda. Pemaikanan topeng muka telah diwajibkan dan amalan membasuh tangan dengan kerap telah diterapkan secara tegas. Sesetengah negara mengambil langkah membuat kuaritin secara total atau secara berperingkat, sekatan perjalanan, pengurungan, penangguhan acara dan pembatalan serta penutupan kemudahan untuk menyekat penularan wabak ini.

Pandemik ini telah mendorong kepada gangguan sosioekonomi global, penangguhan dan pembatalan acara kebudayaan, keagamaan dan kesukanan serta mencetus ketakutan yang meluas dalam kekurangan bekalan yang telah mendorong pembelian panik hampir di seluruh dunia. Ia turut mencetuskan isu perkauman terhadap orang Asia terutamanya orang Cina yang dikatakan punca kepada wabak ini.

Vaksin COVID-19 telah ditemui

Bagai menemui cahaya di hujung terowong, dunia mula menarik nafas lega apabila vaksin COVID-19 telah ditemui. WHO telah memberi pengesahan kecemasan kepada vaksin Pfizer-BioNTech yang memberikan kelulusan untuk negara di seluruh dunia untuk segera meluluskan import dan pengedarannya. Ia merupakan vaksin pertama menerima pengesahan kecemasan sejak COVID-19. Britain menjadi negara Barat pertama yang meluluskan sejenis vaksin untuk kegunaan umum.

Pakar bedah kelahiran Malaysia yang berpangkalan di London, Dr Amalina Che Bakri turut tampil berkongsi pengalamannya yang sudah mendapat suntikan vaksin tersebut di laman sosialnya. Beliau menerangkan vaksin tersebut memerlukan dua dos untuk mencapai tahap imuniti penuh dan akan mengambil masa beberapa minggu untuk mencapai tahap tersebut.

Malaysia turut mendapatkan bekalan vaksin

Negara kita juga tidak terlepas untuk mendapatkan vaksin tersebut demi menangani wabak ini secara tuntas. Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX, Syarikat Pfizer-bioNTech untuk mendapatkan 12.8 juta dos vaksin manakala 6.4 juta dos lain akan disediakan oleh Syarikat AstraZeneca serta beberapa pembekal lain. Meskipun vaksin akan dibekalkan secara berperingkat, kerajaan berharap ia mampu melindungi 70% rakyat Malaysia yang bakal menerima suntikan tersebut. Mengapa hanya 70%?

Vaksin ini adalah terhad kepada mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas. Di Malaysia, 70% penduduknya terdiri daripada golongan dewasa manakala hanya 30% daripada golongan bayi, kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah. Kerajaan percaya 70% rakyat Malaysia yang bakal menerima vaksin ini akan mampu melindungi golongan 30% yang selebihnya.

Proses pemberian vaksin peringkat awal akan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan COVID-19. Kumpulan berisiko tinggi ini termasuklah petugas-petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCO) seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya. Kemudian, vaksin ini akan diperluaskan kepada kumpulan sasar yang lain.

Tular isu jururawat disahkan positif COVID-19 selepas mendapat suntikan vaksin

Tular beberapa hari lalu mengenai seorang jururawat yang didapati dijangkiti virusi COVID-19 selepas mendapat suntikan tersebut. Negara terus kecoh membincangkan mengenai sejauh mana keberkesanan dan keselamatan vaksin terhadap manusia. Namun begitu, ramai tidak tahu kebenaran disebalik kejadian tersebut.

Dr Amalina turut mengulas mengenai kejadian tersebut berlaku disebabkan badan jururawat tersebut belum mencapai imuniti penuh dan berkemungkinan dia telah pun dijangkiti sebelum mengambil vaksin tersebut. Kini sudah jelas isu tular yang mencetuskan keraguan dan panik terhadap suntukan vaksin itu adalah tidak benar.

Kesan sampingan vaksin

Meskipun vaksin untuk COVID-19 telah ditemui dan bakal digunakan, masih ramai ragu-ragu dengan vaksin tersebut. Hal ini kerana, ramai mempertikaikan mengenai kesan sampingan setelah mendapatkan suntikan.

Kementerian Tenaga Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menegaskan bahawa vaksin COVID-19 ini adalah selamat untuk digunakan dan tiada kesan jangka lama terhadap kesihatan manusia. Timbalan Menteri Ahmad Amzad Hashim menyatakan vaksin tersebut telah diuji secara klinikal dan akan diaturkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau juga berkata bahawa tiada vaksin yang tidak mempunyai kesan sampingan. Apa yang penting adalah kesan sampingan tersebut tidak serius atau memudaratkan.

Setakat ini, kesan sampingan yang sering dilaporkan adalah sakit di tempat suntikan, keletihan, sakit kepala, sakit otot, menggigil, sakit sendi, dan demam yang berlangsung beberapa hari. Perlu diketahui, banyak orang mengalami kesan sampingan tersebut selepas menerima dos kedua berbanding dos pertama. Maka, ia penting untuk kita menjangkakan bahawa mungkin terdapat beberapa kesan sampingan selepas menerima kedua-dua dos tersebut, lebih-lebih lagi selepas dos kedua.

Golongan anti vaksin

Bercerita mengenai vaksin, sudah pasti ada yang menyokong dan ada yang membangkang. Meskipun penggunaan vaksin ini perlahan-lahan mula diterima namun masih ada golongan yang menolak usaha ini. Contohnya, usaha kerajaan untuk meyakinkan rakyat untuk menerima vaksin direncatkan oleh golongan anti vaksin. Mereka mengelirukan pemikiran masyarakat dengan informasi-informasi yang salah atau telah ditokok tambah. Tambah-tambah lagi, bekalan vaksin yang akan diterima oleh Malaysia adalah secara berperingkat di mana golongan ini boleh mempengaruhi masyarakat untuk menolak vaksin COVID-19 sekiranya penularan wabak itu masih berlaku dalam negara sedangkan kita sudah menerina vaksin.

Bekalan vaksin yang akan diterima untuk tahun depan adalah untuk 6.4 juta rakyat dahulu sedangkan populasi rakyat di negara ini adalah kira-kira 30 juta. Bermaka lebih 20 juta lagi tidak dilindungi oleh vaksin dan kes jangkitan COVID-19 masih ada. Sekiranya golongan anti vaksin enggan menerima vaksin, mereka tidak jejaskan orang yang sudah menerima suntikan vaksin. Ini bermakna, apabila mereka mendapat jangkitan, mereka tidak akan menjangkiti individu yang telah menerima vaksin.

Hukum menerima suntikan vaksin menurut Islam

Selain daripada kesan sampingan vaksin, masyarakat juga khuatir dengan hukum mengambil vaksin COVID-19 ini khususnya penganut agama Islam. Hal ini kerana, mereka risau dengan bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilan vaksin tersebut. Namun begitu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menjelaskan bahawa hukum menerima suntikan vaksin adalah harus.

Mereka juga menegaskan bahawa vaksin COVID-19 seperti Pfizer adalah halal mengikut dapatan daripada tokoh-tokoh dan cendekiawan kerana bahan kandungannya adalah selamat daripada najis. Ulama dan institusi agama di seluruh dunia juga sebulat suara berpendapat bahawa hukum menerima vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan. Umat Islam diseru untuk menerima suntikan vaksin untuk mengelakkan mudarat tanpa ragu-ragu kerana bahan yang digunakan telah dikaji dan disahkan halal.

Sebagai sebuah negara yang majoriti beragama Islam, KKM juga sangat tegas dalam isu penggunaan porcine atau babi di dalam vaksin. Mereka telah menapis kandungan di dalam vaksin dan memastikan ia tidak mengandungi sebarang bahan yang meragukan. Jadi, rakyat tidak perlu ragu-ragu mengenai status halal vaksin.

Konklusinya, vaksin COVID-19 diharapkan mampu menjadi penawar kepada wabak yang melanda dunia sekarang. Meskipun pelbagai spekulasi dan informasi tular mengenai vaksin ini, semoga usaha semua pihak untuk mencari jalan penyelesaian untuk menghentikan wabak ini berjaya memperolehi kejayaan.