Kita sering mendengar tentang keganasan terhadap wanita, tetapi tahukah anda, ada juga lelaki yang menjadi mangsa keganasan. Keganasan di dalam rumah tangga bukanlah isu baru, ia bahkan sudah terjadi berkali-kali. Namun begitu, isu lelaki menjadi mangsa keganasan terdengar seperti ralat kerana hanya wanita yang sering dikaitkan dengan mangsa keganasan.
Jangan terkejut, kerana lelaki juga sering menjadi mangsa keganasan oleh wanita terutamanya dalam hubungan cinta atau rumah tangga.
Statistik keganasan terhadap lelaki
Menurut statisitik yang diperoleh daripada Unit Perundangan dan Penguatkuasaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, sejumlah 254 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Selangor dan 30 daripada mangsa adalah lelaki. Kebanyakan kes keganasan rumah tangga yang paling banyak dilaporkan melibatkan kecederaan atau mencederakan mangsa secara fizikal diikuti 71 kes dengan sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal, selain 50 kes pelaku melakukan penderaan psikologi dan emosi terhadap mangsa.
Manakala di luar negara, terdapat 20% keganasan terhadap lelaki berlaku di Jerman manakala di Mexico, 25% mangsa kes keganasan rumah tangga adalah lelaki. Di Kenya, Nigeria atau Ghana, pengangguran dan kemiskinan menjadi sebab utama keganasan dilakukan oleh pasangan wanita.
Rekod berikut berjaya membuktikan bahawa keganasan terhadap lelaki sememangnya wujud dan semakin meningkat hari demi hari.
Kemaskulinan beracun
Lelaki sering dikaitkan dengan sifat dominan, kuat dan gagah perkasa. Lelaki yang menangis atau menunjukkan sisi lemahnya dilihat sebagai lemah dan tidak cukup ‘jantan’ dalam norma-norma kebanyakan masyarakat dunia. Hal ini dinamakan kemaskulinan beracun (toxic masculinity) yang sering membuatkan lelaki tidak mampu membela diri sendiri apabila ditindas oleh pasangan. Konsep dan stereotaip begini juga boleh membahayakan golongan lelaki kerana menggalakkan perbuatan ganas termasuk secara mental atau seksual.
Disebabkan stereotaip beracun sebegitu, golongan lelaki tidak tampil untuk membuat laporan dan hanya memilih mendiamkan diri apabila ditindas di dalam sesebuah hubungan atau rumah tangga. Mereka takut dilihat sebagai lemah bahkan lebih teruk, digelar pengecut. Kata-kata seperti ‘lelaki mana boleh menangis’ adalah contoh kemaskulinan beracun yang jelas, apabila menghalang lelaki daripada menunjukkan emosi sebenar mereka dan terpaksa memendam perasaan. Contoh-contoh stereotaip lain adalah:
- Lelaki perlu jiwa kental
- Lelaki tidak boleh tertekan
- Lelaki perlu jadi macho
- Lelaki tidak boleh emosi
- Lelaki jangan jadi lembik
- Lelaki tidak boleh meminta tolong
- Lelaki perlu sentiasa menang dan tidak boleh kalah
Masyarakat sering melontarkan kata-kata sebegitu terhadap lelaki dengan harapan lelaki perlu memenuhi ‘peranan’ dan ‘watak’ mereka tanpa gagal. Kadang-kala kata-kata tersebut dihambur secara berselorah namun begitu, ia masih tetap mempunyai kesan yang mendalam terhadap mentaliti golongan lelaki. Mereka yang dibesarkan dengan mentaliti sebegitu akhirnya membesar sebagai seorang lelaki yang harus menahan perasaan dan harus kelihatan gagah sentiasa meskipun mereka tidak.
Akibat daripada stereotaip ini, kaum lelaki enggan menerima bantuan atau mendapatkan rawatan sepatutnya. Mereka memilih untuk berdiam diri dan berpura-pura okay walhal mereka menderita. Hal ini menyebabkan mereka lebih berisiko untuk mendapat komplikasi kesihatan yang teruk sama ada secara fizikal atau lebih teruk, mental seperti depresi.
Keganasan terhadap lelaki
Seiring dengan perkembangan dunia, wanita sudah bangkit mendapatkan hak sama rata seperti lelaki. Melalui konsep pemerkasaan wanita, kaum wanita tampak lebih yakin untuk melangkah ke hadapan dan melawan stereotaip yang sentiasa meletakkan wanita sebagai golongan lemah yang harus dibantu. Meskipun konsep ini mengajak kaum wanita untuk bangkit menjadi wanita yang lebih cemerlang secara positif, namun sesetengah wanita pula memgambil pendekatan lain dengan bertindak agresif dan dominan terhadap pasangannya.
Kini, bukan wanita sahaja yang menjadi mangsa keganasan, lelaki juga. Kes sebegini kebiasaanya melibatkan isteri yang memukul suami berkemungkinan menghadapi masalah mental. Sesetengah kes pula melibatkan personaliti pasangan wanita yang lebih agresif dan lebih berkuasa disebabkan kedudukannya atau pekerjaan mereka lebih tinggi berbanding suami menjadikan mereka berfikiran mereka lebih berkuasa dan berhak mengasari suami.
Kebiasaannya, lelaki tidak mahu melaporkan keganasan yang berlaku kerana enggan dilabel pengecut atau dayus. kebanyakan mangsa juga memberi alasan masih sayangkan isteri. Mereka juga berfikir bahawa wanita bertindak sebegitu kerana kegagalan daripada pihak mereka dan berharap pasangan akan berubah di masa akan datang. Selain itu, mereka juga takut untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mengelakkan anak-anak terjejas sekiranya perceraian berlaku.
Kesan terhadap kesihatan
Ideologi kemaskulinan tradisional sememangnya memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental dan fizikal kaum lelaki. Menurut Kesatuan Psikologi Amerika, lelaki yang berpegang kuat kepada budaya maskulin tradisional seperti sentiasa kuat, dominan, tidak emosi, ganas, keinginan untuk menang serta mengejar status sosial adalah lebih cenderung mengalami masalah psikologi seperti tekanan perasaan, kemurungan, penyalahgunaan bahan dan funsi sosial yang lemah.
Kaum lelaki yang patuh kepada norma sebegini juga tidak berani bersuara ketika menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Mereka berisiko mengalami kemurungan atau trauma setelah dilayan secara agresif untuk jangka masa yang lama. Mereka juga cenderung untuk mempunyai masalah kegelisahan dan cemas sepanjang masa kerana perlu sentiasa melakukan yang terbaik dan tidak membuat kesilapan semasa memenuhi permintaan pasangan. Mereka hidup di dalam ketakutan untuk tidak menjadi seorang yang ‘gagal’ memenuhi kehendak pasangan sekali gus gagal menjadi seorang lelaki yang sejati.
Dapatkan bantuan dan kaunseling
Lelaki yang terlibat dengan keganasan dinasihatkan untuk tampil membuat laporan dan mendapatkan bantuan. Apatahlagi melibatkan pasangan yang melakukan keganasan secara berterusan secara mental dan fizikal yang berkemungkinan mempunyai masalah mental. Umum tahu, keganasan boleh ditakrifkan dalam bentuk fizikal, emosi, percakapan, keganasan seksual, psikologi yang berpunca daripada tekanan mengenai kewangan atau keperluan. Menerusi kaunseling, pasangan suami isteri boleh dibantu untuk menyelesaikan masalah rumah tangga secara berhemah.
Hal ini kerana, dinamik dalam rumah tangga perlu ditangani secara lebih adil, penuh kasih-sayang, hormat menghormati, bertolak ansur bagi menghasilkan suasana tenang dan aman dalam rumah tangga. Sesebuah keluarga bahagia memerlukan suami dan isteri yang saling memahami dan matang mengendalikan masalah.
Golongan lelaki juga tidak perlu takut untuk mendapatkan rawatan sekiranya perlu. Misalnya, rawatan psikiatri disebabkan tekanan perasaan dan trauma yang telah dihadapi sepanjang keganasan rumah tangga berlaku. Mereka tidak perlu malu kerana kesihatan mental juga adalah penting untuk seorang manusia meneruskan hidup dengan aman dan tenang.
Akhir sekali, keganasan terhadap kaum lelaki bukanlah suatu hal yang kelakar. Mereka juga perlu dibantu dan dibela tanpa melihat kepada gender. Lelaki juga mempunyai perasaan dan tidak sepatutnya disakiti. Oleh itu, hapuskan stereotaip dan konsep kemaskulinan racun ini terhadap kaum lelaki. Mereka adalah manusia, mereka juga perlu menangis!
JOM FOLLOW @percemedia untuk lebih banyak content menarik . .
#lawakhambar #viral #mudahterhibur #autongakak #videolawak #viralmalaysia #perce #hiburan #artismalaysia #selebriti #twitter #game #epicgames #freegames #gtav #covid #fungames