Pentakrifan kemiskinan tidak dapat dinyatakan secara tepat dan mutlak kerana ia merupakan satu istilah yang subjektif. Namun begitu kemiskinan biasanya dikaitkan dengan kekurangan pendapatan, kesusahan dan ketidakmampuan individu dan isi rumah untuk memenuhi keperluan harian.
Kawasan bandar menjadi tumpuan manusia sebagai lubuk rezeki kerana ramai yang berpendapat penghijrahan ke bandar mampu menukar kehidupan mereka menjadi lebih baik.
Namun, hakikat sebenar ialah sebaliknya kerana realitinya, ramai yang tetap dianggap miskin bandar berikutan gaji mereka terima tidak selari dengan kos sara hidup yang sentiasa meningkat.
Kemiskinan bandar merupakan masalah sosioekonomi yang dihadapi oleh semua negara. Malahan negara maju juga tidak terlepas dari mempunyai rakyat yang hidup di dalam kemiskinan. Isu kemiskinan ini berkait rapat dengan pengagihan kekayaan negara. Sebuah negara walaupun berpendapatan tinggi dengan pengagihan kekayaan yang tidak baik akan mempunyai ramai rakyatnya yang hidup di dalam kemiskinan.
Ianya bukan sahaja melanda negara-negara miskin seperti Bangladesh, India dan Nepal malah kemiskinan juga menyerang negara-negara maju di Amerika Syarikat, England dan Jepun. Walaupun berbagai usaha yang dilakukan oleh banyak pihak untuk membasminya namun ianya tetap berlaku.
Secara umumnya kemiskinan yang ditakrifkan adalah sebagai seseorang yang hidup dalam keadaan yang susah untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup yang mencukupi. Definisi ini menjelaskan hubungan antara kemiskinan dan ketidakmampuan dalam memenuhi keperluan yang minimum bagi mengekalkan kecekapan fizikal atau bagi memenuhi keperluan asas.
Adakah benar bahawa rakyat Malaysia kebanyakannya tergolong di dalam kelompok miskin bandar? Adakah ianya realiti yang dihadapi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia kini? Apakah yang digambarkan sebagai miskin bandar?
Jika anda adalah seseorang yang tergolong di dalam senarai di bawah, anda berkemungkinan besar adalah seseorang di dalam kategori miskin bandar.
- Mempunyai masalah untuk membuat simpanan setiap bulan.
- Perlu mencatu makanan atau wang yang ada untuk survive sehingga gaji yang seterusnya.
- Hilang 50% atau lebih gaji di awal bulan untuk membuat pembayaran sewa/bil dsb.
- Terpaksa membuat beberapa pekerjaan part time untuk mendapat income tambahan.
- Perlu membuat pilihan untuk membayar mana yang penting dahulu.
- Terpaksa meminimakan kos sara hidup dan asasi.
Namun, apakah yang menjadi punca akan kemiskinan bandar yang dihadapi oleh sebahagian penduduk tetap di bandar ini?
Ramai yang berada di dalam situasi miskin bandar ini atau yang telah berhadapan dengan mereka yang berada di dalam situasi ini namun ramai yang kurang peka akan punca sebenar miskin bandar ini.
Faktor-faktor berlakunya kemiskinan bandar boleh dibahagikan kepada beberapa, antaranya:
Pengangguran
Penduduk luar bandar percaya akan peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah lebih baik di bandar. Kebanyakan majikan mengambil peluang ini untuk menjimatkan perbelanjaan dan seterusnya mengambil pekerja dari luar dengan bayaran gaji yang jauh lebih murah dari pekerja tempatan terutamanya dalam bidang pembinaan dan perindustrian.
Penghijrahan
Migrasi dari luar bandar atau kawasan yang kurang peluang pekerjaan serta kebanjiran warganegara asing menyebabkan tahap penawaran buruh melebihi permintaan. Penawaran buruh yang melebihi permintaan pekerjaan secara langsung akan menggalakkan agar orang yang terdesak memerlukan pekerjaan untuk berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan. Namun begitu, ini akan menyebabkan lebih ramai orang yang menyumbang kepada Miskin Bandar ini kerana kesanggupan untuk mereka bekerja dengan pendapatan yang rendah atau menganggur selepas penghijrahan.
Tahap pendidikan yang rendah
Bagi penduduk dengan tahap pendidikan yang rendah, mereka mengambil pendekatan untuk berhijrah ke bandar dengan harapan peluang pendapatan yang lebih menguntungkan. Apabila penghijrahan dari luar bandar melebihi kadar populasi yang dapat ditampung oleh sesuatu kawasan, penduduk yang telah berhijrah mula mewujudkan penempatan mereka di kawasan-kawasan setinggan yang kurang tahap kebersihan, kemudahan asas, pendidikan dan pemantauan kesihatan yang minimum. Migrasi secara mendadak menyukarkan penduduk tersebut mendapat pendidikan yang berkesan. Pendapatan yang kurang juga menjadi salah satu punca penduduk migrasi sukar mendapat pendidikan yang sewajarnya.
Saiz isi rumah yang besar
Saiz isi rumah juga memainkan peranan yang penting dalam faktor kemiskinan bandar. Tahap pengangguran yang tinggi akibat penghijrahan menjadikan purata yang berkerja dalam isi rumah amat terhad. Keperluan isi rumah tidak dapat dipenuhi kerana hanya beberapa ahli keluarga sahaja yang bekerja. Ini merupakan salah satu faktor kemiskinan bandar.
Krisis Ekonomi
Secara umumnya krisis ekonomi menjadi penyebab pelbagai masalah. Antaranya yang ketara adalah kemiskinan. Kadar inflasi yang meningkat menjadi laluan kepada peningkatan harga barangan dan secara automatik pemintaan menurun. Namun begitu ia meningkat kembali sehingga yang terkini pada bulan Oktober 1.4%. Kadar Inflasi yang tinggi akan menjurus kepada pemberhentian pekerja sebagai langkah berjaga dan penjimatan oleh majikan. Akhirnya golongan miskin yang akan sengsara berikutan keadaan krisis ekonomi ini.
Pandemik
Sepertimana pandemik yang sedang dilalui oleh seluruh dunia pada ketika ini iaitu Covid-19, ramai orang yang terjejas akibat pandemik yang berlaku ini. Tidak mengira siapa, setiap orang terpaksa melalui keadaan pandemik yang masih belum mempunyai vaksin atau ubat ini dalam keadaan tidak bersedia. Mengikut kajian dan data terkumpul, golongan yang paling terjejas dengan pandemik ini adalah pekerja-pekerja yang yang terpaksa diberhentikan dan juga peniaga-peniaga kecil. Secara tidak langsungnya, pandemik ini mengakibatkan tahap miskin bandar meningkat dengan mendadak pada tahun ini. Ini adalah kerana mereka yang mempunyai simpanan juga telah habis menggunakannya untuk menghadapi krisis ini di kala kita menjalani tempoh PKPD di rumah.
Pendapatan Rendah
Keadaan ekonomi yang tidak menentu memaksa penduduk bandar untuk mengeluarkan perbelanjaan yang melebihi pendapatan. Di samping itu, pengangguran dan pemberhentian kerja yang bertitik tolak dari sikap penjimatan majikan yang mengambil pendekatan mengupah pekerja asing yang jauh lebih murah menjadikan penduduk sedia ada meraih pendapatan yang sedikit. Dengan berbekalkan pendapatan yang tidak setaraf dengan perbelanjaan dan kadar kenaikan barangan yang tinggi memaksa mereka untuk berhutang. Penduduk menjadi sukar untuk mendapatkan keperluan asas sekaligus taraf hidup terjejas dan meningkatkan kemiskinan bandar.
Kekurangan Kemudahan Asas
Jika diteliti, keadaan seperti kekurangan kemudahan asas contohnya bekalan air, elektrik, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan menjadi punca kepada faktor-faktor kemiskinan bandar yang lain. Kekurangan tersebut mempengaruhi penduduk luar bandar untuk keluar mencari dan memenuhi keperluan masing-masing. Perancangan yang teliti dan penstrukturan yang lengkap dapat mengatasi kebanyakan permasalahan yang menjerumus kepada kemiskinan bandar jika dapat dilaksanakan dengan teratur. Bencana alam juga memainkan peranan dalam kehilangan kemudahan asas tersebut.
Peranan Kerajaan
Kerajaan memainkan peranan yang sangat penting dalam meningkatkan ekonomi sesebuah Negara. Peranan-peranan pemerintah adalah untuk memerhatikan keadaan ekonomi,social, budaya golongan sederhana dan golongan yang kurang bernasib baik. Pemerintah yang kurang peka terhahap pertumbuhan masyarakat miskin dapat menjadi salah satu faktor kemiskinan. Pemerintah tidak membuat tindakan yang mampu mengurangkan kemiskinan di negara ni. Golongan sederhana ialah golongan yang mempunyai pendapatan yang sederhana dan tanggungan yang banyak. Manakala, golongan miskin ialah golongan yang kurang mampu untuk menyara kos hidup pada negara yang menuju ke arah era globalisasi. Golongan ini bergantung kepada pihak kerajaan untuk medapatkan perhatian sepenuhnya kepada mereka untuk menampung kos sara hidup semasa. Disebabkan ketidakprihatinan pemerintah, kadar pengangguran di Malaysia semakin meningkat samada di bandar mahupun di luar bandar.
Jika diteliti secara mendalam, hampir setiap kawasan perumahan dan tempat awam terdapat sekurang-kurangnya 2 -3 peminta sedekah. Ini menunjukkan pemerhatian kerajaan terhadap golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik sebegini tidak mencukupi dan menyebabkan mereka disisihkan oleh masyarakat setempat.
Sebagai contoh, kita telah didedahkan denga situasi golongan yang miskin yang telah mendapat liputan dan bantuan daripada seorang individu yang telah beramal dan berusaha untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan dengan memberikan kemudahan seperti rumah sewa (yang dibiayai oleh individu tersebut) kepada mereka yang tinggal hanya di pondok-pondok ataupun kawasan setinggan dan tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi walaupun ianya adalah keperluan asas seorang manusia.
Adakah kita sebagai rakyat Malaysia, hanya boleh bergantung harap kepada individu tersebut untuk membantu orang-orang yang miskin ini dan tidak kepada kerajaan yang ada? Sudah tentu ada program pembasmian kemiskinan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan juga rumah-rumah mampu milik seperti PPR yang disediakan namun adakah ianya mencukupi dan efektif terhadap keadaan ekonomi negara kita kini?
Cara & Cadangan Mengatasi Kemiskinan Bandar
Sebagaimana yang kita tahu, kemiskinan bandar terjadi kerana peningkatan kos taraf hidup yang terlalu tinggi. Namun terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah kemiskinan bandar. Antaranya ialah pelengkapkan diri dengan kelulusan yang tinggi. Tidak dinafikan taraf pendidikan pada masa kini amat dipandang berat dalam masyarakat. Taraf pendidikan yang tinggi adalah salah satu langkah yang perlu diambil untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan.
Pendidikan adalah jalan yang ditempuh oleh seseorang untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan mengubah status sosial yang lebih tinggi. Pendidikan sangat penting bagi menjamin seseorang itu mendapat pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi. Namun, persaingan yang tinggi bagi mendapatkan pekerjaan pada masa kini menjadikan golongan yang berpendidikan tinggi juga tidak terkecuali menjadi penganggur. Namun begitu, bagi seseorang yang berpendidikan peluang untuk mendapatkan tempat dalam sektor pekerjaan samada sektor kerajaan mahupun sektor swasta masih terbuka luas. Peluang untuk mencapai cita-cita juga masih ada walaupun persaingan amat sengit.
Pelajari Ilmu Kemahiran Dalam Pelbagai Bidang
Selain melengkapkan diri dengan pendidikan secara formal kita juga perlu memiliki kemahiran-kemahiran tertentu. Pada masa kini terdapat banyak institusi yang diwujudkan dengan tujuan untuk melahirkan belia Bumiputera yang berkemahiran dalam pelbagai bidang teknikal dan kemahiran bagi melayakkan mereka berkhidmat dalam sektor perdagangan, perusahaan dan perindustrian disamping mewujudkan bakal-bakal usahawan. Institusi-institusi ini dibina untuk memberi peluang kepada remaja dan belia yang tidak berpeluang melanjutkan pendidikan, mendapatkan kelulusan dan kemahiran untuk melayakkan mereka untuk berkhidmat dengan syarikat-syarikat swasta. Sehubungan dengan itu, aliran kemahiran menjadi penting di dalam program pembangunan sumber manusia dan secara langsung merupakan satu laluan yang selari dengan aliran akademik dan ini membolehkan lepasan sekolah menengah membuat pilihan tentang haluan dan bidang kerjaya yang hendak mereka ceburi.
Inisiatif Kerajaan
Dalam mengatasi masalah ini juga, pihak kerajaan telah menubuhkan satu kementerian yang berperanan dalam memperkukuhkan dan memperluas program pembasmian kemiskinan bandar. Sebagai contoh di Malaysia, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ialah satu kementerian yang ditubuhkan untuk menyediakan satu pelan tindakan komprehensif dan melaksanakan program yang bersesuaian untuk menangani masalah kemiskinan bandar di seluruh negara. Kementerian ini bersama beberapa agensi lain turut mengadakan pelbagai program untuk membantu masyarakat bandar dalam usaha meningkatkan pendapatan bagi perlaksanaan pembasmian kemiskinan.
Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) & Projek Perumahan Rakyat (PPR)
Kawasan setinggan merupakan salah satu penempatan penduduk yang amat popular bagi penduduk yang berpendapatan rendah. Perpindahan penduduk ke kawasan bandar yang mengakibatkan kepesatan dan pertambahan penduduk sehingga tidak dapat menampung permintaan perumahan mampu milik oleh golongan yang berpendapatan rendah. Kepadatan penduduk ini mengakibatkan pembinaan rumah-rumah setinggan secara tidak sah di atas tanah milik kerajaan, swasta ataupun milik orang perseorangan. Rentetan itu pihak kerajaan telah mengambil langkah dengan mengadakan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan mengadakan projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi mengawal dan menempatkan semula setinggan dan memberi kemudahan serta meringankan beban kepada golongan miskin. Golongan miskin ini diberi bantuan dengan rumah yang lebih selesa dan boleh dimiliki dengan harga yang lebih murah dan mampu milik.
Program Karnival Kerjaya
Program karnival kerjaya juga sering diadakan sebagai salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemiskinan bandar. Karnival ini dianjurkan oleh pihak kerajaan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka yang belum mendapat pekerjaan atau yang telah bekerja. Karnival ini biasanya akan disertai oleh syarikat-syarikat yang akan menawarkan jawatan kosong dalam pelbagai bidang mengikut kelulusan, dengan ini orang ramai terutamanya golongan belia boleh merebut peluang memilih pekerjaan yang ditawarkan mengikut kelulusan mereka.
Oleh itu, para belia yang telah tamat belajar dan belum mempunyai pekerjaan perlulah sentiasa cakna akan iklan-iklan jawatan kosong terkini dan menghadiri program seperti ini bagi mengelakkan diri daripada menjadi penganggur.
Bagi membasmi kemiskinan bandar, proses pembangunan ekonomi sesebuah negara sering meletakkan matlamat serampang dua mata, yakni peningkatan pendapatan dan pengagihan pendapatan yang baik. Pengagihan pendapatan yang baik tidak semestinya sama rata. Malah, menjadi lumrah ekonomi pasaran bebas mempunyai ramai rakyatnya yang kaya. Jadi kayu ukur utama di dalam isu pengagihan kekayaan negara dengan baik adalah dengan membasmi atau sekurang-kurangnya mengurangkan kadar kemiskinan.
Sejak dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada tahun 1970, ramai penduduk luar bandar telah berhijrah ke bandar-bandar besar yang mempunyai peluang ekonomi yang lebih cerah. Mereka berhijrah ke bandar semata-mata ingin mendapatkan pekerjaan yang lebih bagus berbanding di luar bandar.
Namun isu kemiskinan bandar lebih merupakan tanggungjawab sosial kerajaan. Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah kemiskinan bandar haruslah dipuji kerana peratusan kemiskinan berjaya dikurangkan dari awal pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) hingga sekarang. Langkah tersebut temasuklah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), penswastaan perumahan setinggan, dan juga mewujudkan beberapa intitusi seperti Amanah Saham Bumiputera, Tabung Amanah IKHTIAR dan sebagainya.
Akhir kata, kemiskinan merupakan satu masalah sosial yang patut ditangani oleh semua pihak. Ini kerana ia merupakan tanggungjawab sosial yang membebani semua pihak untuk diselesaikan.
JOM FOLLOW @percemedia untuk lebih banyak content menarik . .
#lawakhambar #viral #mudahterhibur #autongakak #videolawak #viralmalaysia #perce #hiburan #artismalaysia #selebriti #twitter #game #epicgames #freegames #gtav #covid #fungames