Skip to main content

Kemiskinan bukanlah sesuatu yang diminta, namun tidak bermakna ia hanya perlu diterima tanpa usaha. Kerajaan telah menubuhkan Wawasan Kemakmuran Bersama (2030) untuk merapatkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin. Hal ini kerana, terdapat jurang yang ketara antara dua golongan tersebut.

Masalah ini semakin ketara apabila Malaysia telah menyemak semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 berbanding kadar RM980 yang telah digunapakai sejak tahun 2005. Ia bermakna kadar kemiskinan di Malaysia adalah 5.6 peratus yang bersamaan 405,441 isi rumah.

jurang kemiskinan pelajar

Sedarkah kita jurang pendapatan ini turut memberi kesan kepada pelajar?

Tempias kemiskinan ini juga terkena anak-anak yang masih bersekolah. Kehidupan yang dhaif dan pendapatan ibu bapa yang kurang mencukupi menyebabkan anak-anak tidak mendapat pendidikan sepatutnya.

Ketinggalan dalam pelajaran

Jurang ini juga menyebabkan pelajar daripada golongan miskin tidak dapat meneruskan pelajaran dengan sempurna. Sesetengah pelajar sekolah tidak mampu memiliki gajet untuk pembelajaran secara atas talian. Terutamanya di waktu pandemik covid-19 di mana sekolah terpaksa ditutup dan pembelajaran dilakukan secara atas talian.

Mereka yang tergolong daripada golongan kaya mampu hadir ke kelas secara talian kerana mempunyai kelengkapan yang lengkap. Kebanyakan mereka tidak mampu memiliki gajet seperti telefon pintar untuk hadir ke kelas atas talian. Mereka mungkin ketinggalan dalam pelajaran berbanding pelajar daripada keluarga kaya.

Pembelajaran atas talian juga memerlukan internet. Kebanyakan keluarga berpendapatan rendah tidak mampu menyediakan kemudahan internet kepada anak-anak. Hal ini akan menyukarkan lagi pembelajaran pelajar yang menyebabkan mereka gagal hadir ke kelas atas talian.

Sesetengah pelajar daripada keluarga miskin bahkan tidak mempunyai barang kelengkapan asas sekolah yang lengkap. Dengan baju, kasut serta beg yang lusuh serta alat tulis yang sekadar ada, mereka ke sekolah serba dhaif berbanding mereka yang datang daripada keluarga kaya.

Tidak mampu sambung belajar ke peringkat lebih tinggi

Selain itu, pelajar daripada golongan miskin berisiko tidak mampu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Kesempitan wang menyebabkan ramai tidak mampu meneruskan cita-cita untuk ke menara gading. Kebanyakkannya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengajian ke universiti malah memilih untuk bekerja membantu keluarga.

Mereka sedar, menyambung pelajaran akan memerlukan wang yang banyak. Mereka terpaksa melupakan segulung ijazah demi membantu keluarga menampung kehidupan. Berbeza dengan pelajar daripada golongan kaya, mereka mampu meneruskan pelajaran tanpa perlu risau beban kewangan yang terpaksa ditanggung keluarga.

Berhenti sekolah demi keluarga

Segelintir pelajar daripada golongan miskin pula terpaksa memgambil keputusan untuk berhenti belajar. Mereka berfikir bahawa kos pendidikan akan membebankan keluarga. Mereka memilih untuk bekerja untuk membantu ekonomi keluarga. Meskipun tidak mempunyai kelulusan tinggi namun wang adalah yang utama bagi meneruskan kehidupan.

Tindakan ini mungkin mampu membantu untuk meneruskan hidup namun tidak mampu mengubah kehidupan secara total. Pendidikan memberikan kita peluang untuk mengubah kualiti hidup. Melalui pendidikan, seseorang mendapat kelulusan tinggi dan dapat menjawat jawatan yang baik serta dapat mengubah kehidupan miskin kepada stabil. Namun, perkara itu tidak mampu dicapai sekiranya pelajar daripada golongan miskin mengambil tindakan berhenti sekolah kerana perlu membantu keluarga mencari rezeki.

Jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin semakin melebar

Meskipun kadar kemiskinan di Malaysia dikatakan telah turun kepada 5.6 peratus berbanding 7.6 peratus pada tahun 2016, namun masih ramai rakyat Malaysia yang hidup dalam kesusahan serta terpaksa melupakan pendidikan. Jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin telah mewujudkan jurang pendidikan terhadap rakyat.

Jurang ini dapat dilihat melalui tahap pendidikan golongan kaya dan miskin. Golongan kaya mampu menampung kos pengajian dan menyediakan kelengkapan yang lengkap untuk pelajar. Mereka mempunyai kelebihan untuk mendapat pendidikan yang sempurna. Manakala pelajar daripada keluarga miskin terpaksa menangguhkan persekolahan menyebabkan mereka tertinggal di belakang berbanding rakan seusia.

Ketidakstabilan emosi dan sosial

Perkara ini juga mampu menimbulkan isu seperti ketidakstabilan emosi dan sosial. Perbezaan umur dan taraf hidup boleh mendatangkan rasa rendah diri atau rasa tidak selamat sepenuhnya. Zaman persekolahan merupakan masa untuk mereka mencuba menyesuaikan diri dengan orang sekeliling. Sekiranya mereka gagal menyesuaikan diri disebabkan faktor taraf hidup, mereka mula menjadi rendah diri dan kurang berkeyakinan.

Misalnya, pakaian sekolah yang serba lusuh manakala rakan pula berbaju bersih dan baru menjadikan mereka rendah diri. Selain itu, masalah buli dan ejek disebabkan penampilan begitu menyebabkan mereka semakin hilang keyakinan diri dan enggan ke sekolah. Sekiranya mereka terpaksa melalui perkara itu setiap hari, ia boleh menyebabkan perkara lebih serius seperti masalah tekanan perasaan, contohnya depresi.

Kebanyakan pelajar yang datang keluarga yang susah perlu duduk di rumah selepas pulang daripada sekolah kerana ibu bapa terpaksa keluar bekerja sehingga lewat malam bagi menampung keluarga. Mereka harus berdikari dan tidak mampu bermain dengan bebas seperti kanak-kanak lain. Mereka sebaliknya perlu menjadi matang dan menggalas tanggunjawab ibu bapa menjaga rumah dan melindungi adik-adik. Situasi sebegini boleh menyebabkan tekanan kepada pelajar dan tidak membantu membentuk emosi yang betul.

Emosi yang tidak berkembang secara baik akan menjerumuskan mereka kepada perkara negatif. Misalnya, disebabkan kesempitan hidup, pelajar mula berfikir mereka tidak layak untuk terus belajar kerana membebankan keluarga atau penat untuk hidup dalam kesusahan lalu terjebak dengan hal-hal negatif seperti pergaulan yang salah. Pelajar perempuan pula mungkin terlibat dengan gejala sosial yang akhirnya membinasakan diri.

Masalah tumbesaran dan perkembangan fizikal

Pelajar yang datang daripada keluarga miskin juga lebih cenderung untuk mengalami masalah tumbesaran yang tidak normal. Hal ini kerana keluarga yang dhaif tidak mampu menyediakan makanan yang lengkap nutrisi berbanding keluarga kaya. Pelajar memerlukan makanan dengan nutrisi yang lengkap untuk mampu fokus dengan baik dalam pelajaran. Malangnya kesempitan hidup menyebabkan mereka terpaksa melupakan makanan yang sihat sedangkan makan sehari-hari adalah satu perjuangan.

Masalah ini dapat dilihat dengan jelas apabila fizikal pelajar miskin adalah lebih kurus, cekung dan kelihatan tidak begitu berdaya berbanding mereka yang datang daripada keluarga kaya yang kelihatan lebih sihat, cergas dan lebih gagah. Nutrisi adalah sangat penting untuk pelajar terus fokus dalam kelas sekali gus cemerlang dalam pelajaran.

Bayangkan, ketika waktu rehat mereka hanya mampu merenung rakan-rakan lain makan dengan ceria sedangkan mereka terpaksa mengikat perut? Pulang daripada sekolah juga belum pasti makanan sudah terhidang seperti yang lain. Kesempitan hidup menyebabkan keluarga yang miskin terpaksa membuat catuan makanan atau terpaksa mengikat perut sepenuhnya. Hal ini sangat memberi kesan terhadap tumbesaran mereka secara normal.

Perkembangan kognitif turut terjejas

Perkembangan kognitif juga merupakan elemen penting dalam perkembangan mental pelajar. Kehidupan yang serba dhaif menjadikan ibu bapa dari golongan miskin tidak mampu menyediakan kehidupan dan suasana yang sempurna untuk perkembangan mental kanak-kanak. Hal ini kerana, otak manusia yang sedang berkembang sangat memerlukan input yang koheren, baru dan mencabar, atau ia akan merencatkan pertumbuhannya. Kesan buruk ini dapat dilihat apabila kanak-kanak sering diabaikan, otak mereka tidak berkembang dengan baik.

Malangnya, kebanyakan pelajar daripada keluarga miskin dibesarkan dengan cara begitu. Kesempitan hidup dan ibu bapa yang sibuk mencari pendapatan untuk menyara hidup menjadikan mereka tidak terdedah kepada sesuatu yang baru. Misalnya, mereka jarang dibacakan buku oleh ibu bapa, tidak dibantu untuk menyiapkan kerja sekolah, tidak dibawa ke tempat yang mampu membuka minda seperti muzium. Kesemua aktiviti ini adalah penting untuk membantu perkembangan otak pelajar.

Ujian kecerdasan standard menunjukkan hubung kait antara kemiskinan dan pencapai kognitif yang lebih rendah, melibatkan pelajar daripada keluarga miskin sering memperolehi skor rendah dalam membaca, subjek matematik dan sains serta menunjukkan kemahiran menulis yang lemah. Kekurangan ini telah dikaitkan dengan kecekakan kognitif yang kurang berkembang sewaktu mereka masih kanak-kanak sehingga mempengaruhi pertumbuhan kosa kata, IQ dan kemahiran sosial.

Bagaimanapun kesemua ini mampu dibendung dengan tindakan pantas oleh semua pihak untuk membantu golongan ini agar mendapat pendidikan yang sempurna sekali gus mampu mengubah kehidupan mereka di masa akan datang.

Kerajaan main peranan

Meskipun peratus kemiskinan di Malaysia semakin menurun, namun kerajaan masih perlu bertindak membantu keluarga daripada golongan miskin terutama mereka yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah. Setiap rakyat Malaysia berhak mendapatkan pendidikan yang sempurna meski lahir dalam kemiskinan. Kerajaan perlu memastikan hak pendidikan untuk setiap rakyat ditegakkan.

Kerajaan perlu memainkan peranan dengan merangka strategi yang lebih ampuh untuk membasmi kemiskinan bagi mengelakkan jurang ini semakin melebar dan memberi kesan kepada pelajar. Misalnya, kerajaan perlu meningkatkan pemilkan rumah di kalangan penduduk miskin, subsidi beras atau makanan ruji bagi golongan miskin serta perlindungan sosial bagi yang kurang bernasib baik.

Langkah berikut dapat meringankan beban keluarga miskin sekali gus tidak menjejaskan pendidikan anak-anak terutamanya ketika pandemik Covid-19 masih tidak reda dan aktiviti harian semakin terbatas. Sebagai contoh, subsidi beras atau makanan ruji membantu ibu bapa mampu menyediakan makanan yang cukup dan berkhasiat untuk anak-anak ke sekolah. Pelajar juga mampu mendapat nutrisi yang cukup untuk fokus di dalam kelas. Bantuan-bantuan ini mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Selain daripada bantuan dan sumbangan, kerajaan harus menangani masalah ini dari akar umbi. Misalnya, sistem percukaian di negara ini perlu ditingkatkan supaya ia lebih progresif untuk merapatkan jurang pendapatan yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin. Sekiranya jurang ini dapat dirapatkan, masalah pendidikan dalam golongan miskin juga boleh ditangani.  Tindakan kerajaan untuk merapatkan jurang pendapatan di negara ini adalah langkah tepat dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

Guru sebagai sokongan

Selain daripada kerajaan, guru turut mempunyai peranan penting dalam membantu tumbesaran emosi dan kognitif pelajar. Meskipun pelajar daripada golongan miskin sedikit ketinggalan disebabkan kehidupan yang dhaif, ia mampu ditambah baik dengan bantuan guru-guru di sekolah.

Guru perlu membina kemahiran teras pelajar miskin yang mempunyai masalah pembelajaran menggunakan penilaian sebagai peta jalan untuk memastikan tahap kemahiran yang mereka perlukan. Misalnya, kemahiran perhatian dan fokus, ingatan jangka pendek dan panjang, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran sosial dan kemampuan mengaplikasikan kemahiran dalam jangka masa panjang. Kesemua kemahiran ini adalah penting untuk membentuk kecerdasan dan mengembangkan fungsi otak.

Guru juga merupakan sumber harapan dan sokongan selain daripada ibu bapa. Kebanyakan pelajar daripada keluarga miskin sentiasa rasa rendah diri kerana keadaan keluarga yang kurang mampu. Mereka juga tampak lagi pendiam dan kurang aktif di dalam kelas. Oleh itu, guru-guru perlu mencipta suasana yang tidak berat sebelah. Misalnya, sentiasa libatkan mereka di dalam setiap aktiviti agar mereka tidak terasa terasing. Guru juga perlu menyokong dengan memberi sokongan dan didikan yang positif yang mampu melahirkan harapan dan sifat optimis di dalam diri pelajar miskin.

Konklusinya, kemiskinan merupakan satu masalah yang serius dan ia memberi kesan kepada banyak aspek termasuk pendidikan. Tanpa pendidikan yang sempurna, Malaysia tidak mampu melahirkan pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu untuk membantu negara membangun dan maju. Jurang kemiskinan ini mampu kita tangani dengan mengambil langkah-langkah yang bijaksana untuk membasmi masalah ini secara tuntas. Sesungguhnya kemiskinan merupakan satu masalah sosial yang patut ditangani oleh semua pihak. Ia merupakan tanggungjawab sosial yang membebani setiap daripada kita untuk diselesaikan.